Sinopsis Buku Move In Karya Hani Nabila


Buku : Move In

Pengarang : Hani Nabila
Bilangan Halaman : 113
Penerbit : Inspirasee International Sdn Bhd
Cetakan Pertama : Disember 2016
Sumber Buku : Adik (Badariah)
Harga : RM 25


Mengisahkan kehidupan sebenar seorang insan yang bernama Hani Nabila. Seorang hamba yang mengaku Allah sebagai Tuhannya tetapi perbuatannya berlawanan dengan pengakuannya. Seorang perempuan yang mengaku cinta pada Rasulullah tetapi jarang berselawat kecuali dalam solatnya.

Puteri tunggal kepada mama dan papa. Satu-satunya pemenuh separuh iman kepada Mujahid Aiman. Penghuni rahim yang pertama dan amat dicintai; Aisya Humaira.

Merasakan hidupnya dalam jahiliah iaitu memakai tudung pendek dan tidak menjaga ikhtilat. Dia berusaha untuk move on dari jahiliah dan move in ke Jannah.

Buku ini kisah tentang jahiliah dan hijrah dalam kehidupan seorang insan. Dapatkan ibrah lalu bermuhasabahlah.


Perbendaharaan Kata

Istidraj – Allah bagi pemberian nikmat kepada manusia tapi dia tak redha dengan pemberian itu.

Ikhtilat – Pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Usrah - Ia satu pertalian atau hubungan yang terjalin kerana Allah dan saling mengingati antara satu sama lain ke arah yang benar serta mengamalkan amar makruf nahi mungkar.

Sinopsis Novel Semusim di Mahsyar Karya Hadi Fayyadh



Novel : Semusim di Mahsyar

Pengarang : Abdul Hadi Mohamad (Hadi Fayyadh)
Bilangan Halaman : 286
Penerbit : Iqes Tijarah Trading
Cetakan Pertama : Julai 2017
Sumber Buku : Adik (Badariah)
Harga : RM29.90


Iqlima Salsabilla, disahkan meninggal dunia akibat kegagalan pembedahan hati. Dia dikebumikan selama 5 hari, kemudian kuburnya digali semula setelah ayahnya mendakwa melihat anaknya di dalam mimpi, kembali dengan kain kapan yang berlumuran darah dan nanah, meminta untuk diselamatkan kerana dia masih hidup.

Sepanjang 5 hari di dalam kubur, Iqlima menjalani suasana di alam misteri sehingga dia merasakan hampir seribu tahun lamanya dia bersemadi. Iqlima  merasai sendiri kesakitan dan kepayahan di alam mahsyar. Betapa sengsaranya dia di alam tersebut akibat derhaka terhadap ibu dan ayahnya.

Dia amat menyesal dengan perbuatannya dan ingin kembali ke dunia untuk menebus segala salah silapnya. Iqlima adalah seorang gadis kecil yang solehah, menjaga solat dan menutup aurat. Tetapi akibat fitnah, dia telah menderhaka kepada kedua ibu ayahnya. Iqlima difitnah sebagai anak haram hasil hubungan tidak sah oleh ibu dan ayahnya.

Ibu dan ayahnya tetap melayannya dengan baik dan dibalas dengan perbuatan buruk oleh Iqlima. Hinggalah Iqlima disahkan menghidap kanser hati dan memerlukan penderma. Qaleef Haikal sudi mendermakan sebahagian hatinya buat Iqlima.

Namun di saat akhir, Qaleef Haikal menarik diri untuk menderma hatinya. Ibu Iqlima menawarkan diri untuk menderma walaupun mengalami pendarahan akibat ditolak oleh Iqlima di hospital. Pembedahan tersebut gagal, Iqlima dan ibunya disemadikan dalam satu lahad. Ayah Iqlima mendakwa Iqlima masih hidup dan merayu agar kubur digali walaupun terpaksa berjalan mengengsot untuk ke rumah Pak Iman.

Akhirnya kubur Iqlima dan ibunya digali  dan ternyata Iqlima masih hidup. Iqlima berasa bersalah dan ingin menebus kesalahannya tetapi sudah terlambat kerana ayahya turut menghembuskan nafas yang terakhir sebelum sempat dia meminta maaf.

Sebenarnya Iqlima bukanlah anak haram tetapi dia telah difitnah oleh Mak Ngahnya sendiri. Penyesalan demi penyesalan di hati Iqlima. Kini dia bertaubat dan hatinya semakin dekat pada pencipta.