Memaparkan catatan dengan label Ulasan Jurnal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulasan Jurnal. Papar semua catatan

Ulasan Jurnal Pembangunan : Pendedahan Hubungan Antara Wanita Bekerja dan Pengurusan Emosi Keluarga


Rumusan Jurnal

Terdapat dua hipotesis dalam mengkaji hubungan antara wanita bekerja dalam mengendalikan emosi antara pekerjaan dan keluarga. Hipotesis tersebut ialah Hipotesis Scarcity (kekurangan) dan Hipotesis Expansion (pengembangan).

Hipotesis Scarcity (kekurangan) meramalkan emosi pekerja yang mempunyai kesan negatif ke atas wanita bekerja yang sudah berkahwin. Wanita memikul beban yang berat dalam pengurusan rumahtangga atau keluarga dan memerlukan pengurusan emosi yang baik. Keupayaan kerjaya wanita harus mempunyai hubungan positif dengan pasangan (suami) dalam melaksanakan pengurusan emosi keluarga. Tenaga emosi yang digunakan di tempat kerja mengurangkan tenaga emosi untuk menangani emosi di rumah.

Hipotesis Expansion (pengembangan) pula meramalkan bahawa kerjaya yang melibatkan emosi tidaklah terlalu memenatkan dari segi psikologi. Komitmen wanita yang tinggi terhadap bidang pekerjaan menyebabkan kurangnya tanggungjawab terhadap keluarga. Hipotesis ini juga membayangkan pengurusan emosi keluarga menjadi sederhana atau tidak melampau kesan daripada emosi tempat kerja.

Kesimpulan, pengawalan emosi wanita berkerjaya yang memerlukan mereka menggunakan emosi, berkemampuan menangani dan mengawal emosi mereka. Kehidupan wanita yang berdikari dapat meninggikan keupayaan wanita tersebut dalam mengendalikan emosi berganda.


Pengajaran/Iktibar

Wanita yang bekerja dan sudah berkahwin harus melaksanakan tugasnya dalam keluarga dan pekerjaan dengan baik. Pengurusan emosi sangat penting bagi memastikan segala tindakan yang diambil adalah tepat bagi mencapai kesejahteraan hidup. Emosi negatif di tempat kerja tidak harus di bawa pulang ke rumah dan sebaliknya. Saling memahami dan bantu-membantu di antara suami isteri menjadikan emosi seseorang lebih stabil dan kehidupan menjadi lebih mudah. Secara keseluruhannya, emosi perlu dikawal dan diurus dengan baik oleh seseorang. Emosi yang baik dapat menangani masalah yang dihadapi dengan cepat dan tepat serta dapat hidup dengan sejahtera.


Rujukan

Wharton, A. S., & Erickson, R. J. (1995). THE CONSEQUENCES OF CARING : Exploring the Links Between Women’s Job and Family Emotion Work. The Sociological Quarterly, 36(2), 273-296. 


Ulasan Jurnal Pembangunan : Kemiskinan Kanak-kanak, Kesihatan Ibu dan Kebajikan Sosial

kemiskinan


Rumusan Jurnal

Kemiskinan kanak-kanak selalunya mempunyai kaitan dengan ibubapa yang tidak bekerja, bekerja sendiri atau mendapat upah atau gaji yang rendah. Kemiskinan yang tinggi juga boleh berlaku jika penjaganya adalah seorang ibu tunggal. Bagi sesetengah negara seperti Australia dan United Kingdom, majoriti ibu tunggal memperolehi pendapatan bergantung kepada kebajikan sosial yang bernilai rendah daripada nilai minimum pendapatan yang sepatutnya.

Walaupun seseorang ibu tunggal itu bekerja, namun ibu tunggal tersebut tidak mampu menyara keluarganya. Hal ini disebabkan kerana pekerjaan yang diperolehi hanyalah sementara, gaji yang rendah, bekerja hanya separuh masa dan tidak mempunyai masa kerja yang fleksibel. Ibu tunggal juga seringkali mengalami masalah kesihatan berbanding ibu yang berkahwin. Hal ini memberi impak yang negatif kepada ibu tunggal tersebut serta anak-anaknya.

Hubungan antara kemiskinan dan kesihatan yang rendah menunjukkan bahawa golongan berada berkemampuan untuk membeli makanan yang berkhasiat, tempat tinggal yang selesa, penjagaan kesihatan yang lebih sempurna, pakaian yang lebih baik serta kemudahan kesihatan yang lengkap. Golongan yang berpendapatan rendah terpaksa bekerja di tempat yang berbahaya dengan kawalan yang rendah, tinggal di kawasan yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi dan terlibat dengan cara hidup yang berisiko.


Pengajaran/Iktibar

Kemiskinan adalah berpunca daripada memiliki tingkat upah dan pekerjaan yang rendah. Kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang baik adalah disebabkan seseorang itu tidak mempunyai tahap pendidikan yang tinggi bagi melayakkan menjawat jawatan yang baik agar memperoleh gaji yang lebih lumayan. Di samping itu, tidak mempunyai kemahiran atau kepakaran dalam sesuatu bidang tertentu dan juga mengalami masalah kesihatan yang menghalang aktiviti pekerjaan. Hal ini memberi kesan negatif yang menyebabkan berlakunya pengangguran dan seterusnya kemiskinan. Kemiskinan inilah menyebabkan kesihatan, pendidikan, pemakanan dan sebagainya dalam sesebuah keluarga akan terabai dan hidup dalam keadaan yang daif. 


Rujukan

Baker, M. (2002, November). Child Poverty, Maternal Health and Social Benefits. Current Sociology, 50(6), 823-838.