Soalan :
Saya
bakal berkahwin tidak lama lagi dengan majlis akad nikah bakal diadakan dalam
masjid. Saya risau jika pada hari berkenaan saya dalam keadaan haid. Adakah
kita dilarang memasuki masjid dalam keadaan haid jika niat kita untuk
menyelesaikan pernikahan sahaja?
Jawapan :
Para ilmuwan
berbeza pendapat hukum wanita yang sedang haid memasuki masjid. Dalam bab ini
terdapat sebuah riwayat yang bermaksud: Aku
tidak menghalalkan masjid bagi (wanita yang didatangi) haid dan tidak (halal
juga) bagi orang yang junub. Akan tetapi darjat kekuatan hadis ini
diperbincangkan. Pada waktu yang sama terdapat sebuah hadis lain yang jelas
sahih berkenaan seorang wanita yang tinggal sekian lama di dalam khemah, di
dalam masjid Nabi di Madinah (Shahih al-Bukhari, no: 439).
Wanita
tersebut tentu mengalami kitaran seperti biasa, namun Rasulullah tidak menegur
atau melarang beliau daripada terus berada di dalam masjid. Oleh itu saya lebih
cenderung kepada hukum bahawa wanita yang sedang haid boleh memasuki masjid
atas apa jua urusan.
Seperkara
lain, apabila mendekati hari nikah dan anda pasti akan didatangi haid pada hari
tersebut, hendaklah memaklumkannya kepada calon suami. Ini kerana antara agenda
utama pada malam pernikahan ialah suami dan isteri melakukan hubungan seks buat
pertama kali. Makluman yang awal akan dapat mengelak situasi yang tidak diingini
pada malam pertama tersebut. Perlu ingat bahawa Islam melarang suami
menyetubuhi isterinya yang sedang haid, tetapi membolehkan mereka bermain-main
bersama-sama.
Oleh :
Kapten
Hafiz Firdaus Abdullah
Majalah Dara.com