Ingin Membatalkan Nazar

Soalan :

Saya pernah bernazar tetapi kini ragu sama ada dapat melaksanakannya. Bolehkah saya membatalkannya atau menukarnya?


Jawapan :

Pertama sekali, meskipun nazar dibolehkan dalam Islam, ia bukanlah sesuatu yang dianjurkan. Ini kerana seseorang itu hendaklah ikhlas beribadah kepada Allah dan bukannya setelah mendapat sesuatu kebaikan atau mengancam dirinya dengan hukuman jika gagal memenuhi nazar tersebut. Lebih dari itu bersumpah ke atas diri sendiri untuk melakukan sesuatu ibadah sunat bererti menukar hukumnya dari sunat kepada wajib. Ini juga bukan sesuatu yang selari dengan ajaran Islam.


Nazar umpama sumpah dan sesiapa yang tidak dapat memenuhinya hendaklah membayar kafarat sumpah iaitu :-

  1. Memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang biasa diberikan kepada keluarga kamu, atau
  2. Memberi pakaian kepada mereka, atau
  3. Memerdekakan seorang hamba, atau
  4. Berpuasa tiga hari.

Memandangkan anda sudah bernazar, maka laksanakanlah ia dan jika benar-benar tidak mampu, bayarlah salah satu dari empat kafarat sumpah di atas. Selepas itu usah bernazar lagi. Beribadahlah kepada Allah kerana anda ingin beribadah kepadanya, taat kepada-Nya, bersyukur kepada-Nya dan inginkan ganjaran syurga daripada-Nya.


Oleh :
Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
Majalah Dara.com

Communication For Behavioural Impact (COMBI) Bersama Teman Membanteras Denggi


Apa itu COMBI?


Satu program atau aktiviti di mana masyarakat akan diberikan pendedahan dan pendidikan untuk mencegah daripada dijangkiti demam denggi oleh sukarelawan COMBI. Para sukarelawan ini dilantik di kalangan masyarakat setempat itu sendiri.


Apa Objektif COMBI?


- Meningkatkan tahap kesedaran masyarakat untuk mencegah denggi.

- Mengurangkan jangkitan denggi dengan memusnahkan tempat-tempat pembiakan Aedes.

- Mendidik masyarakat supaya mengamalkan langkah-langkah mudah untuk mencegah dijangkiti demam denggi.

- Memupuk penglibatan masyarakat dalam usaha membanteras denggi terutamanya sebagai ahli jawatankuasa COMBI.


Apa Langkah-langkah Pencegahan Demam Denggi yang Perlu dilaksanakan?


- Periksa di dalam dan di luar rumah sekurang-kurangnya sekali seminggu. Pastikan rumah atau kediaman anda bebas daripada pembiakan Aedes.

- Segera dapatkan rawatan doktor sekiranya demam.


Apakah Tempat-tempat Berpotensi Pembiakan Aedes yang Perlu diperiksa dan Apa yang Perlu dilakukan?



a) Cistern/tangki pam tandas

- Pastikan ia berfungsi;
- Sekiranya tidak berfungsi, pastikan tangki kering.


b) Alas Pasu Bunga

- Pastikan tiada air bertakung;
- Bersihkannya seminggu sekali dengan memberus.


c) Tong/takungan menyimpan air

- Basuh dengan memberus bekas setiap minggu;
- Bubuh pembunuh jentik-jentik mengikut sukatan.


d) Kolah Air

- Basuh dengan memberus kolah setiap minggu;
- Bubuh pembunuh jentik-jentik mengikut sukatan.


e) Tayar

- Hendaklah dilupuskan;
- Ditutup dengan pasir untuk memastikan tiada ruang untuk takungan air.


f) Kanvas

- Simpan di tempat yang tidak terdedah kepada hujan;
- Lupuskan sekiranya tidak digunakan lagi.


g) Bekas-bekas terbiar

- Lupuskan sekiranya tidak digunakan lagi.

Selain bekas-bekas berpotensi menjadi punca pembiakan Aedes di atas, banyak lagi bekas yang boleh menakung air terdapat di sekitar rumah dan kediaman kita. Pastikan hidup kita bebas daripada pembiakan Aedes.



Pesanan Daripada :
Kawalan Penyakit Bawaan Vektor,
Jabatan Kesihatan Negeri
Perak Darul Ridzuan.

Mengapakah Burung Suka Terbang ke dalam Mulut Buaya?



Di tepi sungai kawasan panas, buaya akan membuka mulut dengan besar sambil berjemur di bawah matahari. Biasanya haiwan-haiwan lain akan menjauhkan diri daripada buaya-buaya yang ganas itu. Namun, terdapat sejenis burung yang berani terbang ke dalam mulut buaya. 

Adakah burung itu akan dimakan oleh buaya? Tidak, ini kerana burung tersebut merupakan kawan baik buaya. Burung itu akan memakan sisa-sisa makanan di celah-celah gigi buaya, perlakuan ini sebenarnya dapat membantu buaya membersihkan gigi. Kedua-dua haiwan ini akan mendapat manfaat bersama daripada jalinan hubungan seperti ini.