Soalan :
Saya pernah
bernazar tetapi kini ragu sama ada dapat melaksanakannya. Bolehkah saya
membatalkannya atau menukarnya?
Jawapan :
Pertama sekali,
meskipun nazar dibolehkan dalam Islam, ia bukanlah sesuatu yang dianjurkan. Ini
kerana seseorang itu hendaklah ikhlas beribadah kepada Allah dan bukannya
setelah mendapat sesuatu kebaikan atau mengancam dirinya dengan hukuman jika
gagal memenuhi nazar tersebut. Lebih dari itu bersumpah ke atas diri sendiri untuk
melakukan sesuatu ibadah sunat bererti menukar hukumnya dari sunat kepada
wajib. Ini juga bukan sesuatu yang selari dengan ajaran Islam.
Nazar umpama sumpah dan sesiapa yang tidak dapat memenuhinya hendaklah membayar kafarat sumpah iaitu :-
- Memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang biasa diberikan kepada keluarga kamu, atau
- Memberi pakaian kepada mereka, atau
- Memerdekakan seorang hamba, atau
- Berpuasa tiga hari.
Memandangkan anda sudah bernazar, maka laksanakanlah ia dan jika benar-benar tidak mampu, bayarlah salah satu dari empat kafarat sumpah di atas. Selepas itu usah bernazar lagi. Beribadahlah kepada Allah kerana anda ingin beribadah kepadanya, taat kepada-Nya, bersyukur kepada-Nya dan inginkan ganjaran syurga daripada-Nya.
Oleh :
Kapten
Hafiz Firdaus Abdullah
Majalah Dara.com