Apakah Demam Denggi?
Demam denggi adalah sejenis penyakit berjangkit berbahaya yang disebabkan oleh virus denggi. Penyakit ini merebak melalui gigitan nyamuk aedes. Pada masa ini tiada ubat khusus untuk merawat penyakit ini. Oleh itu, pencegahan adalah amat penting.
Tanda-tanda Menghidap Demam Denggi
- Demam kuat yang mengejut dan berterusan (2-5 hari).
- Bintik-bintik atau tompok merah pada kulit.
- Sakit teruk pada tulang-tulang, otot-otot, sendi-sendi, biji mata dan kepala.
- Berdarah pada badan, hidung, gusi dan mulut.
- Muntah darah.
- Najis berwarna hitam.
- Haid yang banyak atau pendarahan dari faraj.
- Muntah-muntah.
- Sakit perut.
- Sesak nafas.
- Pucat atau rasa yang sejuk bila kulit disentuh.
Awas !!!
- Denggi berbahaya kerana belum ada ubat untuk merawatnya dan cara yang paling berkesan ialah mengawal pembiakan nyamuk aedes dengan menghapuskan tempat-tempat pembiakannya.
- Jika anda demam kuat, sila berjumpa doktor.
Jika Anda Demam atau Disyaki Menghidap Demam Denggi. Apakah Tindakan Segera yang Perlu dilakukan?
1. Gunakan aerosol untuk membunuh nyamuk dewasa di kediaman anda.
2. Elakkan dari digigit nyamuk dengan cara :
- Memakai pakaian yang melindungi tubuh anda.
- Menggunakan repelen nyamuk.
- Elakkan daripada aktiviti luar rumah terutama pada awal pagi dan lewat petang (waktu aktif nyamuk Aedes menggigit).
3. Periksa rumah anda :
- Pastikan tiada tempat pembiakan jentik-jentik Aedes di dalam dan luar rumah. Bekas-bekas tidak berguna yang boleh menakung air, hendaklah dibuang.
- Gunakan abate/pembunuh larva dalam takungan air domestik.
PANDUAN PENJAGAAN PESAKIT DENGGI DI RUMAH
Apa yang Anda Perlu Lakukan?
- Berehat secukupnya.
- Banyakkan minum cecair seperti susu, jus buah-buahan, minuman isotonik dan air barli (minum melebihi 5 gelas). Meminum air kosong sahaja adalah tidak mencukupi.
- Makan ubat demam seperti paracetamol mengikut nasihat doktor.
- Lap badan dengan kain basah bagi mengurangkan suhu badan.
- Jika boleh, guna ubat nyamuk atau kelambu untuk mengelak gigitan nyamuk.
- Cari dan musnah tempat-tempat pembiakan jentik-jentik nyamuk aedes di dalam dan luar rumah.
Apa yang Anda perlu Elakkan?
- Jangan ambil ubat tahan sakit seperti aspirin, mefenamic acid (ponstan) atau steroid.
- Tidak perlu mengambil antibiotik.