Sinopsis Novel Nada Dering Cinta Karya Deeme Danee

Novel Nada Dering Cinta Karya Deeme Danee

Novel : Nada Dering Cinta

Pengarang : Deeme Danee
Bilangan Halaman : 378 Halaman
Penerbit : GedeBook Sdn. Bhd
Cetakan Pertama : 2014
Sumber Buku : Sahabat (Siti Hajar)
Harga : RM18.50


Sudah bosan hidup di kampung, Farhana nekad berhijrah ke bandar mengikut ajakan Waheda, teman rapatnya yang sentiasa nampak bergaya. Farhana mahu mengubah hidupnya. Dia mahu berjaya dan bergaya seperti Waheda - walau tidak jalan berlenggok, tetapi semua orang pandang!

Waheda pula sudah tidak boleh lari. Dia bukannya bersungguh mengajak Farhana, tetapi cuma ajak-ajak ayam. Habislah reputasinya nanti kalau Farhana tahu semua barang yang melekat di tubuhnya itu diperoleh dengan berhutang di sana sini. Waheda hanya bekerja sebagai Operator Pengeluaran di sebuah kilang di Kuala Lumpur.

Tiba di bandar, Farhana umpama rusa masuk kampung. Semuanya nampak indah di mata. Kenaifan Farhana menjadi modal kepada Idzuan bagi memperdayakan gadis mulus itu dengan menawarkan telefon idaman Farhana - telefon terbaru dengan spesifikasi yang tinggi.

Seorang lagi jejaka iaitu Zulkarnain yang menjadi pemerhati setia begitu marah dengan sikap Farhana yang terlalu mempercayai Idzuan sehingga sanggup meminjamkan wang kepada lelaki itu. Teguran Waheda dan Zulkarnain mengundang rasa tidak senang sehingga mencetuskan pergaduhan antara mereka bertiga!

Zulkarnain telah jatuh cinta pandang pertama pada Farhana sejak Farhana menjejak kaki di Kuala Lumpur lagi. Ciri-ciri isteri idamannya ada pada Farhana. Pelbagai cara dilakukan untuk menambat hati Farhana. Malah Zulkarnain sanggup mengupah penyiasat untuk mengetahui semua aktiviti Farhana. Sehinggalah tertangkapnya Idzuan yang telah menipu ramai orang. Farhana mula sedar dan merindui Zulkarnain.

Farhana kembali ke kampung untuk meminta maaf pada sahabatnya Waheda. Cinta Zulkarnain yang tidak pernah layu pada Farhana, telah melamar idaman hatinya itu. Mereka berdua disatukan dalam sebuah majlis. 

Dari mana datangnya lintah,
Dari sawah turun ke hati;
Dari mana datangnya cinta, 
Dari mata turun ke hati.

Letusan marak lahar kebahagiaan seolah-olah menular ke seluruh jiwa setiap insan yang ada. Melodi 'Nada Dering Cinta' sentiasa berentak dalam dua hati yang kini terikat untuk saling melengkapi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan