Baik pulih (reconditioned)
Untuk memastikan
barangan yang telah digunakan dapat beroperasi dengan sempurna melalui proses
pembersihan, pembaikan dan lain-lain.
Kualiti yang boleh diperdagangkan (Merchantable Quality)
Menerangkan
keadaan barangan yang dijual. Barang-barang akan dianggap sebagai ‘barangan
berkualiti’ apabila pembeli berpuas hati dengan barangan tersebut walaupun
setelah diberitahu tentang kerosakan pada barangan tersebut atau setelah
pembeli diberi peluang memeriksa barangan tersebut.
Bahan pengawet (preservatives)
Bahan kimia yang
membolehkan bahan-bahan yang cepat rosak dapat disimpan untuk tempoh yang lama.
Belian Pukal
Pembelian
barangan dengan kuantiti yang banyak untuk mendapatkan faedah diskaun.
Buangan toksik
Bahan-bahan
beracun atau membahayakan hasil dari pembuangan sisa-sisa industri.
“Caveat Emptor”
Istilah Latin
yang membawa erti “biar pembeli berwaspada”. Jika pembeli tidak berhati-hati
dalam pembelian maka pembeli sendiri yang akan bertanggungjawab dan perlu
mengambil risiko dari pembelian yang tidak menguntungkan. Dari segi amalan
pengguna dilindungi oleh undang-undang yang memerlukan barangan supaya sesuai
dengan tujuan menyediakan jaminan dan menentukan hukuman kepada penipuan dan
salah perihalan.
“Caveat Venditor”
Istilah Latin
bermaksud “biar penjual berwaspada” adalah bertentangan dengan “Caveat Emptor”.
Penjual bertanggungjawab sepenuhnya jika barangan yang dijual tidak memuaskan.
Dengan erti kata lain penjual perlu berhati-hati dengan keuntungan segera
tetapi merosakkan reputasi atau kehilangan kepercayaan pengguna (membuat keuntungan
tetapi kehilangan pelanggan).
Tempoh bertenang (Cooling-off Period)
Peruntukan
undang-undang untuk tempoh masa tertentu di mana dalam masa berkenaan pengguna
masih boleh membatalkan kontrak pembelian. Peruntukan seperti ini biasanya
terpakai kepada undang-undang jualan dari rumah ke rumah dan kontrak kredit
pengguna.
Cukai tidak langsung
Cukai yang
dibayar terus kepada kerajaan seperti cukai jualan dan cukai perkhidmatan.
Dasar perlindungan
Falsafah atau
amalan bagi melindungi kepentingan perdagangan sesebuah negara.
Diskaun
Pengurangan dari
harga yang biasa ditawarkan pada satu kadar peratusan dari harga yang
disenaraikan. Biasanya didapati semasa jualan menghabiskan stok atau jualan
murah.
Diskriminasi Harga
Penjualan
barangan atau perkhidmatan yang sama tetapi pada harga yang berlainan kepada
pembeli yang berlainan.
“Double Pricing”
Amalan
menentukan harga cadangan pengeluar pada kadar yang keterlaluan. Apabila harga
berkenaan ditunjukkan bersama dengan harga runcit sebenar, ia akan memberi
gambaran seolah-olah pengurangan harga yang tulen.
Lambakan
Jualan barang di
pasaran luar negara di bawah harga yang sepatutnya untuk menghabiskan lebihan
atau untuk menguasai pasaran. Dalam pergerakan pengguna, istilah ini juga
digunakan untuk merujuk kepada barang-barang dieksport yang telah diharamkan,
dihadkan atau didapati mempunyai kualiti yang kurang memuaskan atau tidak
dikehendaki oleh negara-negara tertentu.
“EFTPOS”
Pemindahan wang
elektronik di tempat atau waktu jualan bermaksud apa-apa bayaran dari pelanggan
untuk barangan atau perkhidmatan yang diproses secara elektronik. Ia
merupakan
pemindahan wang dengan cara elektronik dari akaun bank pelanggan kepada akaun
bank peruncit. Kad plastik digunakan di terminal khusus yang dipasang di tempat
pemeriksaan keluar di tempat atau waktu jualan.
“Embargo”
Sekatan atau
larangan berdagang ke atas sesuatu barangan atau sesuatu negara. Dari segi
sejarah embargo sebagai perintah yang selalu digunakan semasa peperangan tetapi
ia juga mungkin digunakan untuk tujuan politik atau ekonomi.
Etika Amalan
Satu instrumen
yang menggariskan prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi dalam tindakan serta
perlakuan ahli-ahli yang biasanya diamalkan oleh korporat-korporat
multi-nasional dan organisasi perniagaan. Ia merupakan peraturan yang
diwujudkan sendiri oleh pertubuhan dan perlu dipatuhi oleh ahli-ahlinya yang
kadang-kadang bertujuan mengelakkan dari dikawal melalui perundangan kerajaan.
Kadang-kadang ia merupakan perangkap kepada undang-undang yang meliputi bidang
yang sukar dikawal atau dikuatkuasakan melalui undang-undang. Etika amalan
lebih diterima oleh masyarakat peniaga kerana ia perlu dipatuhi dari aspek
moral sahaja dan bukan dari sudut undang-undang.
Syarat Pengecualian
Peruntukan di
dalam perjanjian yang menggariskan apa yang tidak dilindungi melalui
undang-undang. Ia kerap didapati di dalam polisi insurans, perjanjian perumahan
dan sebagainya.
Mesra Alam ( Environment Friendly)
Sesuatu bahan
atau barang dinyatakan sebagai mesra alam jika penggunaannya membantu
mengurangkan atau meminimumkan kerosakan alam sekitar.
“Free Enterprise”
Amalan atau
fahaman ekonomi yang dibenarkan pihak swasta beropersi dalam persaingan bebas
dengan kawalan yang minimum daripada kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan