:::.Sajian Hati.:::

♥♫♥ BuKaN aiR TaNGaNKu... ♥♫♥

Memaparkan catatan dengan label Petua. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Petua. Papar semua catatan

Petua Untuk Menjadi Suri Rumah Berjaya


Menjadi suri rumah sepenuh masa bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh dan tidak boleh diperkecilkan kerana ia sungguh mencabar. Cuma ia tidak glamor kerana tidak beruniform cantik dan tidak berpejabat berhawa dingin. Walaubagaimanapun, tanggungjawabnya amat besar dan mulia, seolah-olah mengatur pemerintahan sebuah negara.

Dialah pentadbir, ahli pendidikan, pakar ekonomi, jururawat, tukang masak dan sebagainya. Pendek kata dialah raja, dialah menteri, dialah penyelia dan dialah juga kuli. Masa bertugas 24 jam sehari semalam tanpa cuti, tanpa gaji, cuti sakit jauh sekali.


Amalkan Petua Ini Untuk Menjadi Suri Rumah Berjaya


Untuk berjaya menjadi suri rumah, segala halangan dan rintangan akan berlalu dengan mudah jika diamalkan petua ini.

·         Penuhkan dada kita dengan ilmu dunia dan akhirat.
·         Jagalah kesihatan badan agar sentiasa sihat.
·         Redhalah dengan segala tugas yang kita lakukan itu.
·         Berurusanlah dengan penuh ikhlas dan kasih sayang.
·         Dan selalulah berdoa,

Doa Untuk Menjadi Suri Rumah Berjaya

·         Selalu amalkan surah an-Nasr, hati akan terasa tenang dan Allah akan lapangkan dada. Semua kerja akan mudah dilakukan kerana mendapat keberkatan daripada-Nya, insya-Allah selamat.

·         Untuk mendapat anak yang soleh dan mudah dididik, detiknya bermula ketika ingin bersama suami. Ikhlaskan hati, sungguh-sungguh curahkan kasih sayang kepada suami dan bukan dilakukan secara paksaan semata-mata kita seorang isteri.

·         Setelah hamil, kita mulakan dengan menjaga makanan yang diambil, pastikan ia daripada sumber yang halal dan baik kerana ia akan menjadi darah daging si anak. Banyakkan doa dan ibadat pada saat-saat ini. Rajinkan diri membaca al-Quran. Selain itu, kita juga digalakkan membaca bahan-bahan bacaan yang bermanfaat. Ini dapat meransang otak bayi.

·         Pelihara akhlak dan tutur kata kita kerana anak akan terdidik sejak dari dalam kandungan lagi; bagaimana warna ibu begitulah corak anak. Jaga makan minum, makanlah makanan yang berkhasiat, berzat dan bersih menurut syariat kerana makanan yang dimakan akan menjadi darah daging si anak.

·         Sesudah lahirnya, seseorang anak hendaklah dari kecil lagi diperdengarkan kalimah-kalimah yang mulia, pertuturan yang berharga. Perlihatkan akhlak yang berdarjat, perangai yang terhormat dan ingatlah pesanan Rasulullah bahawa semua anak yang dilahirkan suci bersih umpama kain putih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakannya. Sebagai ibu, kita mempunyai tugas paling mencabar kerana syurga di bawah telapak kaki ibu. Tersilap langkah ibu mendidik, menempah celakalah anak yang dikelek.

·         Didiklah mereka dengan kasih sayang dan bijaksana supaya menjadi insan yang sempurna. Ilmu akhirat hendaklah diutamakan agar menjadi benteng untuk mereka menghadapi pancaroba hidup di dunia ini. Solat lima waktu hendaklah dititikberatkan. Latihlah menunaikan solat lima waktu sejak kecil lagi. Ajarkan anak-anak lelaki berazan serta menjadi imam. Ini sebagai langkah permulaan untuk mereka berada di tengah-tengah masyarakat sebagai pemimpin yang bertakwa.

·         Menjaga kepentingan diri bukan satu perkara yang boleh diabaikan. Kita mesti menitikberatkan tiga perkara iaitu masa untuk bekerja, masa untuk beribadat dan masa untuk berehat. Kesihatan diri sangat perlu dijaga kerana kita manusia bukannya jentera. Hak kepentingan diri mesti dipertahankan.

Pada zaman ini, janganlah terlalu menjadi lilin yang hanya memusnahkan dirinya semata-mata untuk kepentingan orang lain. Bahkan persiapkanlah diri untuk menjadi sang rembulan yang tetap indah gemilang cahayanya menerangi alam semesta, juga sebutir berlian yang menghiasi pengantin remaja.

Sumber:
Buku Alahai Pengantin Baru

Petua Melebatkan Rambut dengan Lendir Rambutan


Jangan runsing sekiranya rambut anda nipis dan tidak lebat. Beberapa helai daun rambutan pasti dapat membantu anda dengan cara membersihkan dahulu daun rambutan. Setelah itu, ramaskan ia ke dalam bekas yang berisi air. Biarkan seketika kerana lendir dari daun akan keluar.

Selepas itu, anda bolehlah mengambil lendir tadi dan usapkan ke atas kepala. Setelah itu biarkan 20 minit, bilas dengan air sejuk seperti biasa. Lakukan dua kali dalam seminggu untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

Petua Hilangkan Kesan Hitam di Ketiak


Ramas daun pisang kering ke dalam air suam yang berisi sedikit cecair antiseptik. Selepas itu gosok pada ketiak dalam tempoh 10 hingga 15 minit. Bilas dengan air suam dan keringkan ia dengan kain lembut. Jadikan ia satu amalan, kesan hitam akan hilang.

Petua Menghilangkan Dengkur Sewaktu Tidur


Ambil 7 biji badam dan tumbuk sehingga lumat. Kemudian, campurkan dengan air susu suam dan kacau hingga sebati. Minum setiap kali sebelum tidur. Insyaallah dengkur anda akan hilang.

Petua Mengecutkan Rahim Selepas Bersalin


Sekiranya anda mengalami masalah perut buncit, rahim yang lambat mengecut dan sering sahaja sakit pinggang serta sakit belakang selepas bersalin, ikutilah petua ini dengan cara merebus daun pegaga bersama akarnya.

Masukkan sekali pucuk pokok sepagi bendini, ambil air rebusan tadi dan minum selama tiga hari berturut-turut di waktu pagi. Insyaallah anda akan kelihatan sihat dan bertenaga, pastinya ia dapat mengembalikan semula hubungan seksual suami isteri.

Petua Melebat dan Mencantikkan Bulu Kening


Bagi sesetengah orang yang inginkan bulu kening yang lebat dan yang paling utamanya cantik, bolehlah mengambil kelopak bunga asam Jawa, kemudian diramas kelopak bunga tersebut dan lendirnya disapukan pada bulu kening. Anda akan dapati kening anda semakin lebat dan cantik.

Petua Menyembuhkan Suara Serak


Ambil sepotong halia, kupas dan basuh hingga bersih. Potong kecil-kecil dan perahkan air asam limau serta masukkan sedikit gula. Amalkan minum air tersebut. Insyaallah, suara anda akan kembali pulih.

Petua Menghaluskan Kulit Anda


Ambil segenggam daun bayam dan dilumat halus. Kemudian campurkan kuning telur, madu dan air mawar. Gaulkan sama rata dan dijadikan masker. Lakukan seminggu sekali, anda akan terkejut dengan perubahan kulit muka yang licin.

Petua Dapat Anak

bayi

Setiap pasangan yang sudah berkahwin pasti menginginkan cahaya mata dalam hidup mereka. Hal ini kerana anak adalah penyeri, penyambung keturunan dan pengikat kasih sayang. Huraian di bawah merupakan petua bagi mereka yang lama berkahwin tetapi belum dikurniakan cahaya mata.


Petua Memperoleh Cahaya Mata


1. Amalkan meminum air suam bercampur madu  asli (warna hitam) setiap awal pagi selama tiga bulan.

2. Buat senaman batin setiap kali bangun tidur waktu pagi, baik untuk semua lelaki yang telah berumah tangga.

3. Amalkan bersedekah setiap hari Jumaat apabila ke masjid.


Cara Melakukan Amalan Senaman Batin


  • Duduk bersila badan tegak
  • Luruskan kaki kanan ke depan
  • Tangan kanan pegang ibu jari kaki kanan, tangan kiri pula pegang lutut kiri dan tarik nafas perlahan-lahan.
  • Selepas nafas penuh di dada, bawa tangan kiri tadi ke kanan hingga menyentuh lantai sebelah kanan (jangan lepaskan nafas tahan selama tujuh saat) jika tidak mampu jangan paksa.
  • Ulangi perkara di atas dengan kaki kiri pula.

Lakukan tiga atau tujuh kali selepas solat Subuh. Jika betul melakukannya, peluh akan keluar walupun hanya tiga kali (tiga kali kanan dan kiri). Selamat mencuba.

Petua Mengelak Rambut Cepat Beruban


Kebanyakan orang Asia berambut hitam, lagi hitam lagi nampak berseri. Tetapi apabila tumbuh uban sama ada ketika remaja atau tua, anda kelihatan lebih tua daripada usia. Bagaimanapun, ada juga individu yang mempunyai rambut hitam walaupun dalam usia emas. Petua jika mahu lambat tumbuh uban di kepala ialah :

Ambil segenggam biji betik (banyak pun tak apa) yang sudah masak kemudian jemur. Biji betik yang kering digoreng tanpa menggunakan minyak sampai hangus. Selepas itu tumbuk sampai lumat sebelum dimasak dengan semangkuk santan pekat sehingga menjadi minyak. Minyak inilah yang boleh digunakan sebagai minyak rambut seharian, insya-Allah mujarab.

Panduan Memilih Beg Tangan

beg tangan

Memilih beg tangan untuk digayakan pada majlis tertentu boleh memeningkan kepala. Takut tersalah pilih, bahkan akan dicemuh oleh rakan lain dan penampilan jadi serba tidak kena. Berikut panduan memilih beg tangan yang sesuai.


1. Kecil dan berkilat


Beg tangan jenis ini memang sesuai digayakan pada waktu malam dan dipadankan dengan pakaian yang menyerlahkan gaya seseorang itu agar nampak anggun dan cantik ketika majlis formal.


2. Badan saiz besar


Mereka yang berbadan besar dan gemuk lebih sesuai menggayakan beg tangan yang sederhana besar dan ringkas coraknya. Jangan sesekali memilih yang beropol-ropol dan terlalu banyak kocek atau hiasan kerana akan membuatkan penampilan kelihatan berserabut serta tidak kemas.


3. Beg kecil


Jika anda terlalu gemar menggayakan beg bertali yang kecil ketika bertugas. Pastikan anda ada beg lain yang lebih besar untuk menyimpan dokumen kerja yang penting atau bahan perbincangan di dalam beg bimbit. Ini akan membuatkan anda nampak profesional seterusnya memudahkan anda membawa dokumen ke mana juga.


4. Badan saiz kecil


Elakkan memakai beg besar seandainya badan anda bersaiz kecil. Walaupun menjadi ikutan anak muda kini memilih beg tangan besar, cuba elakkan hal itu terjadi kepada diri anda tetapi cukuplah sekadar yang mempunyai saiz sederhana. Jika tidak anda mungkin disalah anggap ingin balik kampung dengan beg sebesar itu.


5. Beg kulit


Ia sesuai digayakan ketika anda sedang bertugas di pejabat terutama bagi yang menyandang jawatan penting dalam syarikat atau berada di dunia korporat.


6. Elak warna terang


Cuba elak memakai beg tangan yang mempunyai warna terang seperti biru terang, kuning kunyit dan hijau serindit ketika memulakan tugas di pejabat. Pilihlah warna yang semulajadi dan sedap mata memandang.


Sumber : Harian Metro 30 Oktober 2013

Khasiat Belimbing Buluh


Selain asam jawa, belimbing buluh sering digunakan sebagai penambah rasa asam di dalam beberapa hidangan makanan. Rasanya yang segar menjadikan belimbing buluh memiliki banyak penggemarnya, terutama bagi pencinta hidangan makanan segar.

Buah ini juga banyak digunakan di dalam beberapa jenis pengubatan alternatif. Ini kerana belimbing buluh mengandungi asid amino, asid nitrat, fenolat, ion kalium, gula serta vitamin, mineral dan air.

Komposisi vitamin per 100g ialah riboflavin (0.026 mg), vitamin B1 (0.010 mg), niasin (0.302 mg), asid askorbat (15.6 mg), karoten (0.035 mg) dan vitamin A (0.036 mg). Selain itu, belimbing buluh juga mengandungi komposisi mineral per 100 g seperti fostor (11.1 mg) kalsium (3.4 mg) dan zat besi.

Berikut merupakan beberapa penyakit ringan yang boleh dirawat dengan resepi belimbing buluh.


Batuk


Jika anda tidak suka untuk mengambil ubat klinik atau hospital ketika batuk, anda boleh mencuba resepi belimbing buluh untuk merawatnya. Caranya cukup mudah. Sediakan 10 biji buah belimbing buluh yang segar dan cuci bersih. Kemudian, tumbuk halus dan tambahkan dua sudu besar air garam. Tapis air tadi dan minum dua kali sehari.


Jerawat


Untuk mengusir jerawat yang timbul, cuba gunakan belimbing buluh pada wajah. Sediakan beberapa biji buah belimbing buluh yang segar dan tumbuk halus. Ramas bahan yang ditumbuk tadi dan tambahkan sedikit jus limau nipis untuk digosok pada muka. Setelah beberapa minit, bersihkan dengan air yang mengalir. Amalkan setiap tiga kali sehari.


Panau


Jika anda memiliki masalah kulit seperti panau, gunakan belimbing buluh segar untuk menghilangkannya. Ambil 10 biji buah belimbing buluh, tumbuk halus dan tambahkan sedikit kapur sirih. Sapu pada kulit yang dijangkiti panau. Biarkan selama lima minit dan bersihkan dengan air.


Menurunkan Tekanan Darah


Untuk turunkan tekanan darah, ambil air perahan belimbing buluh yang ditumbuk dan minum sebanyak dua hingga tiga kali sehari.


Sumber : Majalah Mingguan Wanita