Tema : Khazanah Hutan
Keris ditempa buat penahan,
Simpan berlapik di atas para;
Khazanah rimba anugerah Tuhan,
Inovasikan sumber bagaimana cara?
Bersua muka hulurkan salam,
Salam dihulur tanda kemesraan;
Hijaunya hutan khazanah alam,
Mengapa kini giat digondolkan?
Tema : Rakyat Berinformasi
Di pohon rahmat restu dicari,
Bicara puisi minta perkenan;
Gedung maklumat di hujung jari,
Rakyat berinformasi apa peranan?
Tepian beranda tumbuh lemuju,
Petik daunnya bergetah di jari;
Rakyat berinformasi negara maju,
Bagaimana maklumat dapat dicari?
Tema : Keceriaan Sekolahku
Berkain batik sayangnya carik,
Dijahit bonda buat dirinya;
Sekolah cantik budaya menarik,
Mengapa tiada nampak serinya?
Buah pulasan buah kuini,
Dibasuh bersih enak rasanya;
Slogan tulisan di sana sini,
Mengapa masih tiada sedarnya?
Tema : Menghormati Jiran
Letak joran di tepi para,
Bersama dengan parang di ulu;
Hormati jiran bagaimana cara,
Agar hubungan harmoni selalu?
Bawa joran mengitai haruan,
Di tepi tasik melirik mata;
Hormati jiran teguh perpaduan,
Mengapa masih cetus sengketa?