Memaparkan catatan dengan label Penyakit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Penyakit. Papar semua catatan

Cegah Tibi (TB)


Penyakit Tibi (Batuk Kering)

Adalah penyakit yang disebabkan oleh sejenis kuman berjangkit yang dinamakan mycobacterium tuberculosis.

Kuman TB biasanya menyerang paru-paru. Kuman ini juga menyerang lain-lain bahagian badan seperti tulang, sendi tulang, buah pinggang dan lain-lain.

Penyakit TB yang tidak dirawat boleh membawa maut.



Cara Mengesan  Penyakit TB

- Pemeriksaan kahak dibuat untuk mengenalpasti kuman TB.
- Ujian kahak dapat dibuat di semua hospital dan klinik kesihatan.
- Pemeriksaan  x-ray dada juga dapat membantu mengesan penyakit TB.



Cara Jangkitan TB

Pesakit TB paru-paru yang aktif biasanya mengalami batuk. Setiap kali batuk, mereka mengeluarkan titisan-titisan halus yang mengandungi TB.

Penyakit TB adalah ‘jenis penyakit sebaran udara’. Dengan itu, kuman TB berjangkit dari seorang pesakit TB yang berkahak positif kepada yang lain melalui udara apabila pesakit TB batuk atau bersin.



Tanda atau Gejala Penyakit TB

- Batuk berterusan  kadangkala berdarah.
- Batuk yang berkahak dan kadangkala berdarah.
- Hilang selera makan.
- Demam, selalunya berpeluh pada waktu petang dan malam.
- Mengalami penurunan berat badan.



Rawatan Penyakit TB

Rawatan TB selalunya mengambil masa selama 6 bulan.

Pada permulaan, ia meliputi rawatan harian selama 2 bulan, dengan beberapa ubat yang diambil setiap hari di bawah penyeliaan anggota kesihatan yang dilantik. –DOTS

Ini diikuti dengan rawatan sambungan sehingga pesakit sembuh.

Rawatan yang diikuti secara tetap akan membantu pesakit untuk sembuh sepenuhnya.

Beberapa Perkara Untuk Diperhatikan :

- Berusahalah untuk mendapatkan suntikan atau rawatan seperti yang dijadualkan.
- Pastikan semua ubat-ubatan dimakan mengikut arahan dan nasihat doktor.
- Dapatkan rehat yang cukup, makan makanan yang seimbang.



Rawatan TB Yang Tidak Sempurna Akan Mengakibat 

- Penyakit TB menjadi lebih teruk.
- Kuman TB akan menjadi kebal.
- Kerosakan kekal akan berlaku pada paru-paru dan organ-organ lain.
- Membawa maut.
- Menjadi punca jangkitan TB kepada keluarga tersayang dan kontak-kontak.


Pencegahan Penyakit TB

Bayi-bayi yang baru lahir mestilah diberi suntikan BCG.

Semua kontak pesakit TB (ahli keluarga dan rakan sekerja) harus mengikut jadual saringan yang ditetapkan.

Biarkan rumah dimasuki cahaya matahari sebanyak mungkin. Cahaya matahari dapat membantu membunuh kuman TB yang terapung di udara.

Bukalah tingkat pada waktu siang, bagi peredaran udara yang sempurna. Peredaran udara yang sempurna membantu mencegah kuman TB daripada merebak.



Fakta-fakta Berkaitan Penyakit Tibi

WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) menetapkan 24 Mac setiao tahun sebagai ‘Hari TB Sedunia’ . Tarikh ini adalah bersamaan dengan penemuan kuman TB oleh Dr. Robert Koch di Berlin, pada 24 Mac 1882.

Ia disambut untuk memupuk kerjasama yang lebih rapat daripada pelbagai pihak serta masyarakat umum, khususnya bagi bersama-sama berganding bahu membanteras penyakit TB.  


Sumber :
Jabatan Kesihatan Negeri Perak
www.jknperak.gov.my

Penyakit Tibi



Apakah Itu Penyakit Tibi?


Tibi merupakan sejenis penyakit berjangkit yang boleh membawa maut sekiranya tidak mendapat rawatan sempurna. Penyakit ini disebabkan oleh kuman Tibi (Tubercle Bacilli) yang biasanya menjangkiti paru-paru. Ia hanya boleh dilihat dengan mikroskop. Dianggarkan 90 peratus daripada kuman tibi biasanya menyerang paru-paru atau dikenali sebagai tibi pulmonari. Walau bagaimanapun, melalui peredaran darah, ia juga boleh merosakkan bahagian lain tubuh badan manusia seperti buah pinggang, kulit, mata, kelenjar leher, tulang, otak dan lain-lain.


Tanda dan Gejala Penyakit Tibi


• Batuk yang berterusan lebih dari 2 minggu
• Kahak yang mengandungi darah
• Demam dan berpeluh lazimnya pada sebelah petang dan malam
• Susut berat badan dan hilang selera makan
• Mengalami sakit dada apabila batuk atau semasa menarik nafas panjang
• Mudah menjadi letih


Bagaimana Tibi Merebak?


Apabila pesakit tibi pulmonari aktif batuk, bersin atau bercakap, mereka akan mengeluarkan beribu-ribu kuman tibi daripada paru-paru atau kerongkong yang bertebaran di udara dalam bentuk titisan halus. Sesiapa yang menyedut udara yang mengandungi kuman tibi yang terapung-apung itu seterusnya akan menghadapi risiko dijangkiti. Mereka yang berhubung rapat seperti ahli keluarga dan rakan sekerja pesakit tibi lazimnya paling berisiko untuk menghidapinya.


Cara Mengesan Penyakit TIBI


Sekiranya anda mempunyai tanda dan gejala penyakit Tibi anda akan diminta :-
• mendapatkan pemeriksaan doktor
• melakukan pemeriksaan kahak untuk mengenalpasti bakteria Tibi
• menjalani pemeriksaan x-ray dada


Golongan berisiko tinggi mendapat jangkitan


• Penduduk miskin yang tinggal di desa mahupun di bandar-bandar
• Pembawa HIV
• Mereka yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, buah pinggang
• Pesakit yang mengambil ubat steroid dalam jangka waktu yang lama
• Warga tua.


Pencegahan Penyakit Tibi


• Bayi-bayi yang baru dilahirkan mestilah diberikan suntikan BCG. Dapatkan suntikan dos ke 2 sekiranya tiada bekas parut pada umur 12 tahun.
• Sekiranya batuk yang berterusan lebih daripada 2 minggu, segeralah berjumpa doktor
• Kontek iaitu ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang tinggal sebumbung dengan pengidap Tibi dalam tempoh yang lama hendaklah datang membuat pemeriksaan di klinik atau di hospital kerajaan.


Rawatan Tibi dan Prinsip DOTS


DOTS (Directly Observed Treatment-Shortcourse) atau Pengawasan Rawatan Jangka Pendek Secara Terus merupakan strategi yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk merawat penyakit Tibi.

Prinsip-prinsip DOTS adalah :-
• Pesakit perlu mengambil ubat selama 6 bulan
• 2 bulan pertama pesakit diminta menelan setiap dos ubat setiap hari dengan disaksikan oleh anggota kesihatan yang terlatih
• Pada peringkat sambungan selama 4 bulan pesakit perlu mengambil ubat 2 kali seminggu di bawah penyeliaan seseorang yang dilantik



Senarai Semakan Penyeliaan DOTS

a) Kesan sampingan berikut tidak berbahaya (berikan keyakinan kepada pesakit)

• Air liur/ air mata/ air kencing bertukar kepada warna jingga.
• Kulit pedih apabila terdedah kepada matahari.


b) Rujuk pesakit ke klinik kesihatan jika mengalami keadaan-keadaan berikut :

• Hilang selera makan yang ketara
• Loya atau muntah-muntah
• Warna kulit atau mata bertukar menjadi kuning
• Demam melebihi 3 hari
• Sakit perut
• Kebas/ perit pada jari, tangan, kaki atau sekeliling mulut
• Ruam kulit
• Mudah berdarah (membran mukosa)
• Mudah lebam pada kulit
• Sakit-sakit sendi
• Pening
• Kabur penglihatan
• Bunyi dengung dalam telinga
• Batuk berdarah


Nasihat Umum


• Sekiranya anda pesakit tibi yang sedang menjalani rawatan, anda hendaklah mendapatkan rawatan berterusan serta mematuhinya dengan sempurna sehinggalah semuanya selesai.

• Anda boleh menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital, klinik kesihatan atau klinik desa yang berhampiran. Rawatan adalah percuma.

• Kejayaan rawatan bergantung kepada kerjasama yang diberikan oleh pesakit.

• Penyakit ini boleh sembuh jika rawatan diambil sepenuhnya mengikut jadual yang ditetapkan.

• Apabila gejala-gejala penyakit hilang, tidak bermakna anda sudah sembuh sepenuhnya.

• Jangan sekali-kali berhenti mengambil rawatan tanpa berunding dengan doktor.

• Rehat secukupnya.

• Amalkan cara hidup sihat dan makan makanan yang seimbang.

• Pastikan badan anda selalu kuat dan sihat supaya dapat menentang kuman-kuman tibi pada sepanjang masa.

• Jangan biarkan diri dikuasai oleh rokok kerana ia hanya memburukkan keadaan.

• Banyakkan bersenam.

• Buka pintu dan tingkap pada waktu siang untuk peredaran udara yang sempurna bagi mencegah kuman tibi merebak.

• Biarkan cahaya matahari memasuki rumah anda dengan banyaknya kerana ia berupaya membunuh kuman tibi yang terapung-apung di udara dan berselindung di sudut-sudut rumah.

• Elakkan daripada tinggal bersesak-sesak di dalam rumah yang sempit.


Fakta Penting


*Penyakit Tibi tidak boleh berjangklt melalui makanan dan minuman.
*Penyakit Tibi bukan sejenis penyakit keturunan
*Pesakit Tibi yang telah menerima rawatan lebih dari 2 minggu, tidak lagi menjangkiti orang lain.
*Anda berpeluang untuk sembuh jika anda mematuhi rawatan yang disediakan.


BERTINDAKLAH SEGERA


Rawatan segera menyelamatkan nyawa. Rawatan awal dan segera adalah mustahak untuk mengelakkan kesulitan dan kemelaratan yang akan berlaku kepada pesakit.

Fakta Aedes atau Denggi



Apakah Demam Denggi?


Demam denggi adalah sejenis penyakit berjangkit berbahaya yang disebabkan oleh virus denggi. Penyakit ini merebak melalui gigitan nyamuk aedes. Pada masa ini tiada ubat khusus untuk merawat penyakit ini. Oleh itu, pencegahan adalah amat penting.


Tanda-tanda Menghidap Demam Denggi


-      Demam kuat yang mengejut dan berterusan (2-5 hari).
-      Bintik-bintik atau tompok merah pada kulit.
-      Sakit teruk pada tulang-tulang, otot-otot, sendi-sendi, biji mata dan kepala.
-      Berdarah pada badan, hidung, gusi dan mulut.
-      Muntah darah.
-      Najis berwarna hitam.
-      Haid yang banyak atau pendarahan dari faraj.
-      Muntah-muntah.
-      Sakit perut.
-      Sesak nafas.
-      Pucat atau rasa yang sejuk bila kulit disentuh.


Awas !!!


-    Denggi berbahaya kerana belum ada ubat untuk merawatnya dan cara yang paling berkesan ialah mengawal pembiakan nyamuk aedes dengan menghapuskan tempat-tempat pembiakannya.
-      Jika anda demam kuat, sila berjumpa doktor.


Jika Anda Demam atau Disyaki Menghidap Demam Denggi. Apakah Tindakan Segera yang Perlu dilakukan?


1.    Gunakan aerosol untuk membunuh nyamuk dewasa di kediaman anda.

2.    Elakkan dari digigit nyamuk dengan cara :
-      Memakai pakaian yang melindungi tubuh anda.
-      Menggunakan repelen nyamuk.
-      Elakkan daripada aktiviti luar rumah terutama pada awal pagi dan lewat petang (waktu aktif nyamuk Aedes menggigit).

3.    Periksa rumah anda :
-      Pastikan tiada tempat pembiakan jentik-jentik Aedes di dalam dan luar rumah. Bekas-bekas tidak berguna yang boleh menakung air, hendaklah dibuang.
-      Gunakan abate/pembunuh larva dalam takungan air domestik.



PANDUAN PENJAGAAN PESAKIT DENGGI DI RUMAH


Apa yang Anda Perlu Lakukan?


-      Berehat secukupnya.
-    Banyakkan minum cecair seperti susu, jus buah-buahan, minuman isotonik dan air barli (minum melebihi 5 gelas). Meminum air kosong sahaja adalah tidak mencukupi.
-      Makan ubat demam seperti paracetamol mengikut nasihat doktor.
-      Lap badan dengan kain basah bagi mengurangkan suhu badan.
-      Jika boleh, guna ubat nyamuk atau kelambu untuk mengelak gigitan nyamuk.
-      Cari dan musnah tempat-tempat pembiakan jentik-jentik nyamuk aedes di dalam dan luar rumah.

Apa yang Anda perlu Elakkan?


-      Jangan ambil ubat tahan sakit seperti aspirin, mefenamic acid (ponstan) atau steroid.
-      Tidak perlu mengambil antibiotik.