Ulasan Jurnal Pembangunan : Kemiskinan Kanak-kanak, Kesihatan Ibu dan Kebajikan Sosial

kemiskinan


Rumusan Jurnal

Kemiskinan kanak-kanak selalunya mempunyai kaitan dengan ibubapa yang tidak bekerja, bekerja sendiri atau mendapat upah atau gaji yang rendah. Kemiskinan yang tinggi juga boleh berlaku jika penjaganya adalah seorang ibu tunggal. Bagi sesetengah negara seperti Australia dan United Kingdom, majoriti ibu tunggal memperolehi pendapatan bergantung kepada kebajikan sosial yang bernilai rendah daripada nilai minimum pendapatan yang sepatutnya.

Walaupun seseorang ibu tunggal itu bekerja, namun ibu tunggal tersebut tidak mampu menyara keluarganya. Hal ini disebabkan kerana pekerjaan yang diperolehi hanyalah sementara, gaji yang rendah, bekerja hanya separuh masa dan tidak mempunyai masa kerja yang fleksibel. Ibu tunggal juga seringkali mengalami masalah kesihatan berbanding ibu yang berkahwin. Hal ini memberi impak yang negatif kepada ibu tunggal tersebut serta anak-anaknya.

Hubungan antara kemiskinan dan kesihatan yang rendah menunjukkan bahawa golongan berada berkemampuan untuk membeli makanan yang berkhasiat, tempat tinggal yang selesa, penjagaan kesihatan yang lebih sempurna, pakaian yang lebih baik serta kemudahan kesihatan yang lengkap. Golongan yang berpendapatan rendah terpaksa bekerja di tempat yang berbahaya dengan kawalan yang rendah, tinggal di kawasan yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi dan terlibat dengan cara hidup yang berisiko.


Pengajaran/Iktibar

Kemiskinan adalah berpunca daripada memiliki tingkat upah dan pekerjaan yang rendah. Kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang baik adalah disebabkan seseorang itu tidak mempunyai tahap pendidikan yang tinggi bagi melayakkan menjawat jawatan yang baik agar memperoleh gaji yang lebih lumayan. Di samping itu, tidak mempunyai kemahiran atau kepakaran dalam sesuatu bidang tertentu dan juga mengalami masalah kesihatan yang menghalang aktiviti pekerjaan. Hal ini memberi kesan negatif yang menyebabkan berlakunya pengangguran dan seterusnya kemiskinan. Kemiskinan inilah menyebabkan kesihatan, pendidikan, pemakanan dan sebagainya dalam sesebuah keluarga akan terabai dan hidup dalam keadaan yang daif. 


Rujukan

Baker, M. (2002, November). Child Poverty, Maternal Health and Social Benefits. Current Sociology, 50(6), 823-838.

Istilah-istilah Kepenggunaan Bahagian 3


Kontrak Seragam (Standard Contracts)

Kontrak yang biasanya untuk menjelaskan hubungan yang tidak adil antara dua pihak di mana satu pihak mempunyai kelebihan kuasa tawar-menawar dan berupaya menentukan terma dan syarat kepada pihak yang lemah. Pihak yang lemah biasanya berada dalam keadaan tidak ada pilihan kecuali menerima terma dan syarat-syarat berkenaan.


Pelabelan

Menyertakan label pada barangan untuk menyatakan butir-butir pengeluar, harga, rupa bentuk, berat, isipadu, tarikh luput dan sebagainya di mana sesuai. Pengguna lebih gemar pelabelan bermaklum yang membolehkan mereka membandingkan produk dengan mudah semasa membuat pilihan.


Liabili Keluaran

Tanggungjawab pengeluar dari segi undang-undang untuk membayar pampasan kepada pengguna yang mengalami kemalangan atau kerosakan harta benda yang berpunca dari kerosakan barangan yang dikeluarkannya. Contohnya pengeluar televisyen dikehendaki membayar pampasan terhadap kecederaan dan kerosakan yang timbul akibat daripada televisyen yang dihasilkannya meletup.


Makanan Berumusan

Tiruan pada makanan biasa atau makanan-makanan jenis baru yang dibangunkan di makmal. Misalnya, makanan khusus direkacipta untuk keperluan seperti rumusan bayi, ataupun ‘diet’ untuk makanan asas atau makanan tambahan.


Makanan Diproses

Makanan yang telah diproses dan dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan kimia seperti pengawet (preservatives), pewarna (colouring) dan lain-lain.


Makananan Kesihatan (Health Foods)

Merupakan makanan organik yang bebas dari bahan-bahan pengawet dan digalakkan sebagai makanan kesihatan kerana mengandungi nilai pemakanan atau khasiat yang tulen.


Makanan Mudah (Convenience Food)

Makanan separuh siap atau telah dimasak yang dibungkus dan sedia untuk dimakan dengan sedikit atau tanpa perlu dimasak lagi seperti mi segera.


Makanan Segera

Makanan yang disediakan dengan kuantiti yang banyak dan biasanya diiklankan dengan secara meluas di rangkaian kedai makanan segera.


Menarik Balik Barangan dari Pasaran (recalls)

Satu bentuk jaminan keselamatan dan kawalan mutu barangan atau perkhidmatan di mana pengeluar akan mendapatkan balik barangan tersebut dari pengedar dan pembeli setelah pihak pengeluar mendapati barangan tersebut rosak. Ini adalah untuk membolehkan pihak pengeluar membetulkan kerosakan tersebut


Minuman Ringan Berkarbonat

Karbon dioksida ditambah di dalam minuman ringan. Penolakan minuman ringan sedemikian ialah kerana ia dirumus secara kimia bukan dari buah-buahan segar dan mempunyai nilai pemakanan yang sangat kecil. Ia mungkin mengandungi gula dan pewarna yang berlebihan. Mungkin juga ada yang mengandungi bahan pemanis tiruan seperti sakarin dan pewarna bahaya.


Orang Tengah

Pemborong, ejen atau mana-mana ahli perniagaan yang menjadi penghubung antara pengeluar dan pembekal di dalam proses penjualan barangan. Peranan asasnya ialah membeli barangan daripada pengeluar dan menjualnya kepada pembekal. Biasanya, keuntungan yang diperolehi oleh orang tengah akan menaikkan harga barangan kepada pengguna. Teknik pemasaran moden, seperti jualan langsung tidak lagi memerlukan peranan dan penglibatan orang tengah.


Pasaran Bebas

Mana-mana pasaran di mana pembelian dan penjualan boleh dilaksanakan tanpa apa-apa sekatan termasuk juga harga.


Pasaran Gelap

Pembelian dan penjualan barangan atau perkhidmatan secara tidak sah di sisi undang-undang dan biasanya pada harga yang lebih tinggi.


Pemasaran

Aktiviti perniagaan yang melibatkan pergerakan barangan dari pengeluar kepada pengguna antaranya pembelian dan penjualan, pengiklanan dan pembungkusan.


Pemulauan

Pemulauan oleh pengguna adalah usaha daripada pejuang-pejuang konsumerisme untuk mencapai beberapa objektif dengan cara menggesa pengguna individu berhenti dari membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan di pasaran kerana kenaikan harga yang terlalu tinggi, amalan syarikat pengeluar yang tidak beretika, faktor keselamatan dan sebagainya.


Pengeluar

Orang perseorangan atau syarikat yang menjalankan kegiatan mengeluarkan sesuatu barang. Sesetengah negara dan bagi kepentingan perniagaan, pengimport juga dianggap sebagai pengeluar walaupun dia pada hakikatnya tidak terlibat dalam sebarang proses pengeluaran.


“Performance (Claim) Labelling”

Perlabelan yang mendakwa prestasi atau ketahanan sesuatu barangan seperti tidak pecah dan lain-lain.


Perlindungan

Langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan, termasuklah tarif dan bukan tarif yang menunjukkan peningkatan dalam kos mengimport barang-barang atau menghalang kemasukan barang-barang dan mengukuhkan persaingan barangan tempatan di dalam negeri.


Peruncit

Orang perseorangan yang menjual barangan dalam kuantiti yang kecil terus kepada pelanggan.


Pengguna Bersaing

Pengambilan simbol status barangan yang didorong oleh keinginan untuk sentiasa mengatasi atau bersaing dengan pengguna yang lain khususnya jiran.



“Standard”

“Standard” ialah pengabungan kriteria-kriteria yang menunjukkan keadaan atau keselamatan sesuatu barangan mengikut teknik pengujian yang telah ditetapkan. “Standard” ini boleh dijadikan mandatori atau sukarela.


Tanda Perniagaan

Simbol, reka bentuk, perkataan dan sebagainya yang digunakan oleh pengeluar untuk membezakan barangan yang dihasilkan oleh pesaing-pesaingnya. Tanda perniagaan ini biasanya didaftarkan dan dilindungi oleh undang-undang.


Tanda Tarikh

Melabelkan tarikh barang-barang makanan dikeluarkan bagi membolehkan pengguna mengetahui berapa lama barang berkenaan telah dikeluarkan. Bentuk yang biasa digunakan ialah “guna sebelum” atau “baik sebelum”.


Tarikh Luput

Tarikh yang menunjukkan sesuatu barangan itu tidak lagi selamat untuk digunakan selepas dari tarikh tersebut. Selepas tarikh itu, terdapat kemungkinan tindakbalas kimia atau fizikal telah berlaku terhadap barangan tersebut yang mana ia boleh memudaratkan pengguna.


Tiruan

Pengeluaran barangan yang hampir serupa dengan barangan tulen yang menjadikannya sukar dibezakan dengan barangan tulen. Biasanya dilakukan ke atas barang-barang yang popular, barang berjenama serta barang-barang yang eksklusif dan jenama yang mahal. Sebahagian barang tiruan dijual menggunakan jenama yang hampir sama atau sama dengan jenama tulen. Kadang-kadang barang tiruan sedemikian adalah bermutu rendah dan mungkin boleh membahayakan.

Istilah-istilah Kepenggunaan Bahagian 2


Makanan yang diperkuat “Fortified Food”

Makanan yang telah ditambah dengan bahan-bahan lain atau perasa dan pemakanan asal telah ditambah.


“Food Irradiation”

Proses pemeliharaan makanan yang kontroversi dan meningkatkan jangka hayat makanan melalui kawalan hidupan, organisma mikro di dalam makanan seperti rempah, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran atau menghalang pertumbuhan pada kentang dan bawang. Pejuang-pejuang konsumerisme bimbang tentang lima aspek kesan “irradiation” iaitu kesihatan, keselamatan, pelabelan, pengesahan dan keperluan.


Kepenggunaan Hijau (Green Consumerism)

“Green Consumerism” berkisar kepada ungkapan “semakin sedikit semakin baik”. Ia juga menjadi penting kepada organisasi di mana barang-barang dan perkhidmatan dihasilkan. Tumpuan selaran kepada “Green Consumerism” adalah perolehan barangan dan proses pengeluaran barang-barang yang tidak mementingkan pemeliharaan persekitaran, kesaksamaan sosial dan ekonomi. Politik dan budaya juga menjadi fokus “Green Consumerism”.


Ubat Generik

Semua jenis dadah yang tidak dipatenkan, termasuk yang tempoh tarikh telah luput.


Tambahan Tersembunyi (Hidden Extras)

Tambahan bukan merupakan pilihan yang mesti dibayar apabila membeli barangan atau perkhidmatan tetapi tidak dinyatakan dengan jelas oleh pembekal.


Tambahan Harga yang Tersembunyi (Hidden Extras In Price)

Tambahan harga yang tidak dinyatakan dengan jelas semasa pembelian seperti bayaran penghantaran, bayaran pemasangan dan cukai.


Hadiah Percuma

Ia merupakan hadiah yang disertakan kepada barangan atau diberi percuma jika pembelian dilakukan mencapai satu nilai yang ditentukan. Kadang-kadang hadiah diberikan secara percuma tanpa pembelian khususnya untuk tujuan promosi. Ia memang percuma tetapi para pengguna dinasihatkan supaya meneliti harga barangan apabila hadiah percuma disertakan yang kadang-kala harga dinaikkan secara sulit untuk memasukkan harga hadiah percuma.


“Hazardous Products”

Barang yang boleh membahayakan kesihatan dan keselamatan pengguna. Biasanya barang juga akan membahayakan jika kekurangan penerangan atau amaran.


“Hazardous Waste”

Bahan buangan yang memberikan kesan yang serius kepada kesihatan atau boleh mengakibatkan kematian atau boleh mengancam kesihatan atau persekitaran jika tidak diuruskan dengan benar-benar sempurna.

Pembelian tergesa-gesa

Membeli barang-barang tanpa dirancang terlebih dahulu.


Jingle

“Jingle” mempunyai irama yang mudah diingat yang selalu digunakan untuk iklan barangan dan mudah dikaitkan dengan barangan di dalam pemikiran masyarakat.


Makanan Ringan (Junk Food)

Makanan yang kurang berkhasiat kerana mengandungi gula dan garam yang berlebihan, bahan pengawet atau pewarna yang tidak dibenarkan. Makanan ini boleh membahayakan jika dimakan tanpa makanan lain, misalnya “snack”, gula-gula, kepingan coklat, minuman ringan. Makanan lain seperti burger dan kerepek kentang yang mengandungi banyak lemak dan kalori tetapi sedikit serabut juga sering dipanggil makanan tanpa khasiat.


Jualan Murah

Barangan yang dahulunya dijual dengan harga yang mahal tetapi sekarang ditawarkan dengan harga yang lebih murah. Di setengah-setengah negara, jualan murah dikawal melalui peraturan-peraturan dan undang-undang tertentu yang mensyaratkan bahawa dalam satu tempoh tertentu sebelum jualan murah diumumkan harga barangan berkaitan hendaklah telah dijual dengan harga yang tertentu. Ini bertujuan untuk mengelakkan peniaga mempengaruhi dan menipu pelanggan dengan jualan murah palsu.


Jualan Melalui Pos

Menghantar risalah khusus mengenai jualan barangan atau perkhidmatan melalui pos kepada bakal-bakal pelanggan terpilih dengan mempelawa mereka membuat pesanan terus tanpa melalui kedai. Jualan melalui pos biasanya menggunakan borang jawapan dan pesanan.


Jaminan Pengeluar

Janji nyata atau jaminan yang diberikan oleh pengeluar kepada peruncit yang biasanya disertakan bersama barangan bahawa keupayaan, kualiti barangan adalah seperti yang dinyatakan dan pembaikan serta penggantian akan dilakukan jika barangan tidak memenuhi spesifikasi. Jaminan sedemikian biasanya untuk satu tempoh masa yang tetap.


Jaminan Pemulangan Balik Wang

Jaminan bahawa wang akan dikembalikan sekiranya pembeli tidak berpuas hati dengan barangan yang dibeli.


Jualan Lambak

Jualan barang-barang terpakai atau separuh pakai biasanya dikendali oleh pertubuhan atau kelab untuk mendapatkan wang amal bagi sesuatu projek.


Kerugian Ekonomi (Economic Loss)

Tuntutan undang-undang ke atas kerugian ekonomi ialah konsep yang berkaitan dengan tanggungan barangan di mana pelanggan boleh mendapat pampasan ke atas kerugian kewangan akibat pembelian barang-barang yang rosak (defective) atau tidak sempurna.


Kawalan Mutu

Proses mengekalkan kualiti sesuatu barangan melalui sistem pengeluaran dan seterusnya
khidmat selepas jualan.


Kuasa Pasaran

Kuasa-kuasa tertentu yang boleh mempengaruhi pembelian sesuatu barangan (seperti harga, permintaan, mudah diperoleh dan lain-lain).