Acara Ibadat Agar Mendapat Lailatul Qadar


1. Berbuka ala kadar mengikut sunnah Nabi S.A.W. dengan buah tamar, air dan sebagainya.

2. Solat Mahgrib berjemaah.

3. Solat Isyak berjemaah.

4. Solat Tarawih.

5. Tadarus Al-Quran.

6. Qiamullail (bangun malam untuk bertahajud). Lakukan solat sunat hajat, istikharah, tahajud, witir dan sebagainya.

7. Bersahur di akhir malam.

8. Solat Subuh berjemaah.

9. Menghindari perkara-perkara ‘lagha’ atau sia-sia.

KELEBIHAN SETIAP MALAM SEMBAHYANG SUNAT TARAWIH


Orang-orang yang bersembahyang Tarawih akan mendapat kelebihan seperti berikut :

Malam 1
Keluar dosa-dosa orang mukmin sepertimana ia baru dilahirkan dan mendapat keampunan daripada Allah S.W.T.

Malam 2
Diampunkan dosa-dosa orang mukmin serta kedua ibubapanya.
 
Malam 3
Malaikat di bawah Arasy berseru supaya terus melakukan sembahyang tarawih.

Malam 4
Mendapat pahala seperti pahala membaca kitab-kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al Quran.

Malam 5
Mendapat pahala bersembahyang di Masjidil Haram di Mekah, Masjid Nabi di Madinah dan Masjid Al-Aqsa di Palestin.

Malam 6
Mendapat pahala seperti pahala para Malaikat yang tawaf di Baitul Makmur (70 ribu Malaikat sekali tawaf). Batu-batan dan tanah mendoakan agar diampunkan dosanya.

Malam 7
Mendapat pahala orang yang berjuang bersama Nabi Musa a.s. melawan Firaun dan Hamaan.

Malam 8
Mendapat pahala tarawih seperti pahala Nabi Ibrahim a.s.

Malam 9
Pahala dan kualiti ibadah seperti Nabi Muhammad S.A.W.

Malam 10
Mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.

Malam 11
Keluar daripada dunia (mati) dalam keadaan bersih daripada dosa.

Malam 12
Pada hari kiamat mukanya bercahaya.

Malam 13
Pada hari kiamat aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.

Malam 14
Malaikat bersaksi bahawa dia bersolat Tarawih.

Malam 15
Semua malaikat yang menanggung Arasy dan Kursi berselawat dan mendoakannya.

Malam 16
Terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Malam 17
Pahala bertarawih seperti pahala para Nabi a.s.

Malam 18
Malaikat berseru : “Hai hamba Allah! Sesungguhnya Allah telah reda kepada engkau dan kepada kedua ibu bapa engkau”.

Malam 19
Ditinggikan darjatnya dalam syurga Firdaus.

Malam 20
Mendapat pahala mati syahid dan orang soleh.

Malam 21
Dibina sebuah istana dalam syurga daripada nur (cahaya).

Malam 22
Pada hari kiamat, aman daripada dukacita, kerisauan dan huru-hara padang Mahsyar.

Malam 23
Dibina sebuah bandar dalam syurga daripada nur (cahaya).

Malam 24
Diberi 24 doa yang mustajab (diterima oleh Allah).

Malam 25
Dilepaskan daripada seksa kubur.

Malam 26
Pahala 40 tahun beribadat.

Malam 27
Ganjaran melintas titian siratul mustaqim sepantas kilat.

Malam 28
Diberi 1000 darjat di akhirat.

Malam 29
Mendapat pahala 1000 kali haji yang mabrur (yang diterima oleh Allah).

Malam 30
Allah S.W.T. memberi penghormatan dengan FirmanNya : “Wahai hambaku! Makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini di dalam syurga, mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Sarsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama ‘Al-Kausar’.

LAILATUL QADAR


Malam apa sebenarnya Lailatul Qadar itu?


Sesiapa yang beribadat dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala pada malam Lailatul Qadar ini akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.

Kelebihan beribadat pada malam ini bersamaan 1000 bulan.1000 bulan bersamaan 84 tahun.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : Malam Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan”. (Surah Al-Qadr:3)



Bilakah Malam Lailatul Qadar?


Tiada siapa yang mengetahui Lailatul Qadar secara tepat. Oleh kerana tarikh sebenar tidak diketahui, inilah hikmat sebenar Lailatul Qadar agar setiap individu Muslim sentiasa berusaha dan memperbanyakkan amalan. 

Amalan yang sedikit dan konsisten (istiqamah dan berterusan) lebih baik daripada amalan yang banyak tapi seketika sahaja. 

Walau bagaimanapun ada saranan daripada Nabi s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud :
“Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan”.

Ada Ulama yang mengatakan Lailatul Qadar itu ialah malam 27 Ramadan.



Bagaimana Tip dan Cara bagi Kita yang Kurang Ilmu, Kurang Amal dan Serba Kurang Ini untuk Mendapat Lailatul Qadar?


Caranya mudah iaitu dengan beribadat pada setiap malam bulan Ramadan dari awal hingga malam terakhir. 

Jika istiqamah, insya-Allah akan ada suatu malam yang bernama Lailatul Qadar.