:::.Sajian Hati.:::

♥♫♥ BuKaN aiR TaNGaNKu... ♥♫♥

Memaparkan catatan dengan label Tip Pengguna. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tip Pengguna. Papar semua catatan

Istilah-istilah Kepenggunaan Bahagian 3


Kontrak Seragam (Standard Contracts)

Kontrak yang biasanya untuk menjelaskan hubungan yang tidak adil antara dua pihak di mana satu pihak mempunyai kelebihan kuasa tawar-menawar dan berupaya menentukan terma dan syarat kepada pihak yang lemah. Pihak yang lemah biasanya berada dalam keadaan tidak ada pilihan kecuali menerima terma dan syarat-syarat berkenaan.


Pelabelan

Menyertakan label pada barangan untuk menyatakan butir-butir pengeluar, harga, rupa bentuk, berat, isipadu, tarikh luput dan sebagainya di mana sesuai. Pengguna lebih gemar pelabelan bermaklum yang membolehkan mereka membandingkan produk dengan mudah semasa membuat pilihan.


Liabili Keluaran

Tanggungjawab pengeluar dari segi undang-undang untuk membayar pampasan kepada pengguna yang mengalami kemalangan atau kerosakan harta benda yang berpunca dari kerosakan barangan yang dikeluarkannya. Contohnya pengeluar televisyen dikehendaki membayar pampasan terhadap kecederaan dan kerosakan yang timbul akibat daripada televisyen yang dihasilkannya meletup.


Makanan Berumusan

Tiruan pada makanan biasa atau makanan-makanan jenis baru yang dibangunkan di makmal. Misalnya, makanan khusus direkacipta untuk keperluan seperti rumusan bayi, ataupun ‘diet’ untuk makanan asas atau makanan tambahan.


Makanan Diproses

Makanan yang telah diproses dan dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan kimia seperti pengawet (preservatives), pewarna (colouring) dan lain-lain.


Makananan Kesihatan (Health Foods)

Merupakan makanan organik yang bebas dari bahan-bahan pengawet dan digalakkan sebagai makanan kesihatan kerana mengandungi nilai pemakanan atau khasiat yang tulen.


Makanan Mudah (Convenience Food)

Makanan separuh siap atau telah dimasak yang dibungkus dan sedia untuk dimakan dengan sedikit atau tanpa perlu dimasak lagi seperti mi segera.


Makanan Segera

Makanan yang disediakan dengan kuantiti yang banyak dan biasanya diiklankan dengan secara meluas di rangkaian kedai makanan segera.


Menarik Balik Barangan dari Pasaran (recalls)

Satu bentuk jaminan keselamatan dan kawalan mutu barangan atau perkhidmatan di mana pengeluar akan mendapatkan balik barangan tersebut dari pengedar dan pembeli setelah pihak pengeluar mendapati barangan tersebut rosak. Ini adalah untuk membolehkan pihak pengeluar membetulkan kerosakan tersebut


Minuman Ringan Berkarbonat

Karbon dioksida ditambah di dalam minuman ringan. Penolakan minuman ringan sedemikian ialah kerana ia dirumus secara kimia bukan dari buah-buahan segar dan mempunyai nilai pemakanan yang sangat kecil. Ia mungkin mengandungi gula dan pewarna yang berlebihan. Mungkin juga ada yang mengandungi bahan pemanis tiruan seperti sakarin dan pewarna bahaya.


Orang Tengah

Pemborong, ejen atau mana-mana ahli perniagaan yang menjadi penghubung antara pengeluar dan pembekal di dalam proses penjualan barangan. Peranan asasnya ialah membeli barangan daripada pengeluar dan menjualnya kepada pembekal. Biasanya, keuntungan yang diperolehi oleh orang tengah akan menaikkan harga barangan kepada pengguna. Teknik pemasaran moden, seperti jualan langsung tidak lagi memerlukan peranan dan penglibatan orang tengah.


Pasaran Bebas

Mana-mana pasaran di mana pembelian dan penjualan boleh dilaksanakan tanpa apa-apa sekatan termasuk juga harga.


Pasaran Gelap

Pembelian dan penjualan barangan atau perkhidmatan secara tidak sah di sisi undang-undang dan biasanya pada harga yang lebih tinggi.


Pemasaran

Aktiviti perniagaan yang melibatkan pergerakan barangan dari pengeluar kepada pengguna antaranya pembelian dan penjualan, pengiklanan dan pembungkusan.


Pemulauan

Pemulauan oleh pengguna adalah usaha daripada pejuang-pejuang konsumerisme untuk mencapai beberapa objektif dengan cara menggesa pengguna individu berhenti dari membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan di pasaran kerana kenaikan harga yang terlalu tinggi, amalan syarikat pengeluar yang tidak beretika, faktor keselamatan dan sebagainya.


Pengeluar

Orang perseorangan atau syarikat yang menjalankan kegiatan mengeluarkan sesuatu barang. Sesetengah negara dan bagi kepentingan perniagaan, pengimport juga dianggap sebagai pengeluar walaupun dia pada hakikatnya tidak terlibat dalam sebarang proses pengeluaran.


“Performance (Claim) Labelling”

Perlabelan yang mendakwa prestasi atau ketahanan sesuatu barangan seperti tidak pecah dan lain-lain.


Perlindungan

Langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan, termasuklah tarif dan bukan tarif yang menunjukkan peningkatan dalam kos mengimport barang-barang atau menghalang kemasukan barang-barang dan mengukuhkan persaingan barangan tempatan di dalam negeri.


Peruncit

Orang perseorangan yang menjual barangan dalam kuantiti yang kecil terus kepada pelanggan.


Pengguna Bersaing

Pengambilan simbol status barangan yang didorong oleh keinginan untuk sentiasa mengatasi atau bersaing dengan pengguna yang lain khususnya jiran.



“Standard”

“Standard” ialah pengabungan kriteria-kriteria yang menunjukkan keadaan atau keselamatan sesuatu barangan mengikut teknik pengujian yang telah ditetapkan. “Standard” ini boleh dijadikan mandatori atau sukarela.


Tanda Perniagaan

Simbol, reka bentuk, perkataan dan sebagainya yang digunakan oleh pengeluar untuk membezakan barangan yang dihasilkan oleh pesaing-pesaingnya. Tanda perniagaan ini biasanya didaftarkan dan dilindungi oleh undang-undang.


Tanda Tarikh

Melabelkan tarikh barang-barang makanan dikeluarkan bagi membolehkan pengguna mengetahui berapa lama barang berkenaan telah dikeluarkan. Bentuk yang biasa digunakan ialah “guna sebelum” atau “baik sebelum”.


Tarikh Luput

Tarikh yang menunjukkan sesuatu barangan itu tidak lagi selamat untuk digunakan selepas dari tarikh tersebut. Selepas tarikh itu, terdapat kemungkinan tindakbalas kimia atau fizikal telah berlaku terhadap barangan tersebut yang mana ia boleh memudaratkan pengguna.


Tiruan

Pengeluaran barangan yang hampir serupa dengan barangan tulen yang menjadikannya sukar dibezakan dengan barangan tulen. Biasanya dilakukan ke atas barang-barang yang popular, barang berjenama serta barang-barang yang eksklusif dan jenama yang mahal. Sebahagian barang tiruan dijual menggunakan jenama yang hampir sama atau sama dengan jenama tulen. Kadang-kadang barang tiruan sedemikian adalah bermutu rendah dan mungkin boleh membahayakan.

Istilah-istilah Kepenggunaan Bahagian 2


Makanan yang diperkuat “Fortified Food”

Makanan yang telah ditambah dengan bahan-bahan lain atau perasa dan pemakanan asal telah ditambah.


“Food Irradiation”

Proses pemeliharaan makanan yang kontroversi dan meningkatkan jangka hayat makanan melalui kawalan hidupan, organisma mikro di dalam makanan seperti rempah, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran atau menghalang pertumbuhan pada kentang dan bawang. Pejuang-pejuang konsumerisme bimbang tentang lima aspek kesan “irradiation” iaitu kesihatan, keselamatan, pelabelan, pengesahan dan keperluan.


Kepenggunaan Hijau (Green Consumerism)

“Green Consumerism” berkisar kepada ungkapan “semakin sedikit semakin baik”. Ia juga menjadi penting kepada organisasi di mana barang-barang dan perkhidmatan dihasilkan. Tumpuan selaran kepada “Green Consumerism” adalah perolehan barangan dan proses pengeluaran barang-barang yang tidak mementingkan pemeliharaan persekitaran, kesaksamaan sosial dan ekonomi. Politik dan budaya juga menjadi fokus “Green Consumerism”.


Ubat Generik

Semua jenis dadah yang tidak dipatenkan, termasuk yang tempoh tarikh telah luput.


Tambahan Tersembunyi (Hidden Extras)

Tambahan bukan merupakan pilihan yang mesti dibayar apabila membeli barangan atau perkhidmatan tetapi tidak dinyatakan dengan jelas oleh pembekal.


Tambahan Harga yang Tersembunyi (Hidden Extras In Price)

Tambahan harga yang tidak dinyatakan dengan jelas semasa pembelian seperti bayaran penghantaran, bayaran pemasangan dan cukai.


Hadiah Percuma

Ia merupakan hadiah yang disertakan kepada barangan atau diberi percuma jika pembelian dilakukan mencapai satu nilai yang ditentukan. Kadang-kadang hadiah diberikan secara percuma tanpa pembelian khususnya untuk tujuan promosi. Ia memang percuma tetapi para pengguna dinasihatkan supaya meneliti harga barangan apabila hadiah percuma disertakan yang kadang-kala harga dinaikkan secara sulit untuk memasukkan harga hadiah percuma.


“Hazardous Products”

Barang yang boleh membahayakan kesihatan dan keselamatan pengguna. Biasanya barang juga akan membahayakan jika kekurangan penerangan atau amaran.


“Hazardous Waste”

Bahan buangan yang memberikan kesan yang serius kepada kesihatan atau boleh mengakibatkan kematian atau boleh mengancam kesihatan atau persekitaran jika tidak diuruskan dengan benar-benar sempurna.

Pembelian tergesa-gesa

Membeli barang-barang tanpa dirancang terlebih dahulu.


Jingle

“Jingle” mempunyai irama yang mudah diingat yang selalu digunakan untuk iklan barangan dan mudah dikaitkan dengan barangan di dalam pemikiran masyarakat.


Makanan Ringan (Junk Food)

Makanan yang kurang berkhasiat kerana mengandungi gula dan garam yang berlebihan, bahan pengawet atau pewarna yang tidak dibenarkan. Makanan ini boleh membahayakan jika dimakan tanpa makanan lain, misalnya “snack”, gula-gula, kepingan coklat, minuman ringan. Makanan lain seperti burger dan kerepek kentang yang mengandungi banyak lemak dan kalori tetapi sedikit serabut juga sering dipanggil makanan tanpa khasiat.


Jualan Murah

Barangan yang dahulunya dijual dengan harga yang mahal tetapi sekarang ditawarkan dengan harga yang lebih murah. Di setengah-setengah negara, jualan murah dikawal melalui peraturan-peraturan dan undang-undang tertentu yang mensyaratkan bahawa dalam satu tempoh tertentu sebelum jualan murah diumumkan harga barangan berkaitan hendaklah telah dijual dengan harga yang tertentu. Ini bertujuan untuk mengelakkan peniaga mempengaruhi dan menipu pelanggan dengan jualan murah palsu.


Jualan Melalui Pos

Menghantar risalah khusus mengenai jualan barangan atau perkhidmatan melalui pos kepada bakal-bakal pelanggan terpilih dengan mempelawa mereka membuat pesanan terus tanpa melalui kedai. Jualan melalui pos biasanya menggunakan borang jawapan dan pesanan.


Jaminan Pengeluar

Janji nyata atau jaminan yang diberikan oleh pengeluar kepada peruncit yang biasanya disertakan bersama barangan bahawa keupayaan, kualiti barangan adalah seperti yang dinyatakan dan pembaikan serta penggantian akan dilakukan jika barangan tidak memenuhi spesifikasi. Jaminan sedemikian biasanya untuk satu tempoh masa yang tetap.


Jaminan Pemulangan Balik Wang

Jaminan bahawa wang akan dikembalikan sekiranya pembeli tidak berpuas hati dengan barangan yang dibeli.


Jualan Lambak

Jualan barang-barang terpakai atau separuh pakai biasanya dikendali oleh pertubuhan atau kelab untuk mendapatkan wang amal bagi sesuatu projek.


Kerugian Ekonomi (Economic Loss)

Tuntutan undang-undang ke atas kerugian ekonomi ialah konsep yang berkaitan dengan tanggungan barangan di mana pelanggan boleh mendapat pampasan ke atas kerugian kewangan akibat pembelian barang-barang yang rosak (defective) atau tidak sempurna.


Kawalan Mutu

Proses mengekalkan kualiti sesuatu barangan melalui sistem pengeluaran dan seterusnya
khidmat selepas jualan.


Kuasa Pasaran

Kuasa-kuasa tertentu yang boleh mempengaruhi pembelian sesuatu barangan (seperti harga, permintaan, mudah diperoleh dan lain-lain).

Istilah-istilah Kepenggunaan Bahagian 1


Baik pulih (reconditioned)

Untuk memastikan barangan yang telah digunakan dapat beroperasi dengan sempurna melalui proses pembersihan, pembaikan dan lain-lain.


Kualiti yang boleh diperdagangkan (Merchantable Quality)

Menerangkan keadaan barangan yang dijual. Barang-barang akan dianggap sebagai ‘barangan berkualiti’ apabila pembeli berpuas hati dengan barangan tersebut walaupun setelah diberitahu tentang kerosakan pada barangan tersebut atau setelah pembeli diberi peluang memeriksa barangan tersebut.


Bahan pengawet (preservatives)

Bahan kimia yang membolehkan bahan-bahan yang cepat rosak dapat disimpan untuk tempoh yang lama.


Belian Pukal

Pembelian barangan dengan kuantiti yang banyak untuk mendapatkan faedah diskaun.


Buangan toksik

Bahan-bahan beracun atau membahayakan hasil dari pembuangan sisa-sisa industri.


“Caveat Emptor”

Istilah Latin yang membawa erti “biar pembeli berwaspada”. Jika pembeli tidak berhati-hati dalam pembelian maka pembeli sendiri yang akan bertanggungjawab dan perlu mengambil risiko dari pembelian yang tidak menguntungkan. Dari segi amalan pengguna dilindungi oleh undang-undang yang memerlukan barangan supaya sesuai dengan tujuan menyediakan jaminan dan menentukan hukuman kepada penipuan dan salah perihalan.


“Caveat Venditor”

Istilah Latin bermaksud “biar penjual berwaspada” adalah bertentangan dengan “Caveat Emptor”. Penjual bertanggungjawab sepenuhnya jika barangan yang dijual tidak memuaskan. Dengan erti kata lain penjual perlu berhati-hati dengan keuntungan segera tetapi merosakkan reputasi atau kehilangan kepercayaan pengguna (membuat keuntungan tetapi kehilangan pelanggan).


Tempoh bertenang (Cooling-off Period)

Peruntukan undang-undang untuk tempoh masa tertentu di mana dalam masa berkenaan pengguna masih boleh membatalkan kontrak pembelian. Peruntukan seperti ini biasanya terpakai kepada undang-undang jualan dari rumah ke rumah dan kontrak kredit pengguna.


Cukai tidak langsung

Cukai yang dibayar terus kepada kerajaan seperti cukai jualan dan cukai perkhidmatan.


Dasar perlindungan

Falsafah atau amalan bagi melindungi kepentingan perdagangan sesebuah negara.


Diskaun

Pengurangan dari harga yang biasa ditawarkan pada satu kadar peratusan dari harga yang disenaraikan. Biasanya didapati semasa jualan menghabiskan stok atau jualan murah.


Diskriminasi Harga

Penjualan barangan atau perkhidmatan yang sama tetapi pada harga yang berlainan kepada pembeli yang berlainan.


“Double Pricing”

Amalan menentukan harga cadangan pengeluar pada kadar yang keterlaluan. Apabila harga berkenaan ditunjukkan bersama dengan harga runcit sebenar, ia akan memberi gambaran seolah-olah pengurangan harga yang tulen.


Lambakan

Jualan barang di pasaran luar negara di bawah harga yang sepatutnya untuk menghabiskan lebihan atau untuk menguasai pasaran. Dalam pergerakan pengguna, istilah ini juga digunakan untuk merujuk kepada barang-barang dieksport yang telah diharamkan, dihadkan atau didapati mempunyai kualiti yang kurang memuaskan atau tidak dikehendaki oleh negara-negara tertentu.


“EFTPOS”

Pemindahan wang elektronik di tempat atau waktu jualan bermaksud apa-apa bayaran dari pelanggan untuk barangan atau perkhidmatan yang diproses secara elektronik. Ia
merupakan pemindahan wang dengan cara elektronik dari akaun bank pelanggan kepada akaun bank peruncit. Kad plastik digunakan di terminal khusus yang dipasang di tempat pemeriksaan keluar di tempat atau waktu jualan.


“Embargo”

Sekatan atau larangan berdagang ke atas sesuatu barangan atau sesuatu negara. Dari segi sejarah embargo sebagai perintah yang selalu digunakan semasa peperangan tetapi ia juga mungkin digunakan untuk tujuan politik atau ekonomi.


Etika Amalan

Satu instrumen yang menggariskan prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi dalam tindakan serta perlakuan ahli-ahli yang biasanya diamalkan oleh korporat-korporat multi-nasional dan organisasi perniagaan. Ia merupakan peraturan yang diwujudkan sendiri oleh pertubuhan dan perlu dipatuhi oleh ahli-ahlinya yang kadang-kadang bertujuan mengelakkan dari dikawal melalui perundangan kerajaan. Kadang-kadang ia merupakan perangkap kepada undang-undang yang meliputi bidang yang sukar dikawal atau dikuatkuasakan melalui undang-undang. Etika amalan lebih diterima oleh masyarakat peniaga kerana ia perlu dipatuhi dari aspek moral sahaja dan bukan dari sudut undang-undang.


Syarat Pengecualian

Peruntukan di dalam perjanjian yang menggariskan apa yang tidak dilindungi melalui undang-undang. Ia kerap didapati di dalam polisi insurans, perjanjian perumahan dan sebagainya.


Mesra Alam ( Environment Friendly)

Sesuatu bahan atau barang dinyatakan sebagai mesra alam jika penggunaannya membantu mengurangkan atau meminimumkan kerosakan alam sekitar.


“Free Enterprise”

Amalan atau fahaman ekonomi yang dibenarkan pihak swasta beropersi dalam persaingan bebas dengan kawalan yang minimum daripada kerajaan.

TIP MEMILIH MAKANAN SECARA SELAMAT




A) Pilih Bahan Mentah yang Segar


1. Sayur-sayuran dan buah-buahan

- Tidak layu, kecut, bertukar warna dan busuk.
- Sayur yang berlubang dimakan serangga menunjukkan sayur itu kurang dicemari oleh racun perosak lebih selamat dimakan.

2. Ikan

- Kulit yang bersinar dan berwarna terang dan tidak diselaputi lendir yang tebal.
- Matanya tidak tenggelam dan masih cerah warnanya.
- Segar dan insangnya berwarna merah cerah (bukan perang atau kering).
- Tidak berbau busuk.
- Isinya masih kenyal apabila dipicit.

3. Udang

- Tidak rosak, kulitnya lutsinar tanpa tompok-tompok hitam.
- Tidak berbau busuk.
- Isinya tidak lembik.

4. Daging

- Segar dan tidak berselaput.
- Tidak busuk.
- Pastikan warnanya masih merah.
- Jikalau daging itu sejuk, bermakna daging itu disimpan dalam peti ais.

5. Ayam

- Tidak busuk dan tidak bertukar warna.
- Lihat kepada kegemukan di dada dan kelicinan kulitnya.
- Lebih baik jika beli ayam yang baru disembelih di pasar.

6. Telur

- Tidak retak atau pecah kulitnya.
- Tiada banyak najis dan kotoran pada kulit telur.

7. Bijirin atau Kekacang

- Tidak dicemari serangga atau bahan asing.
- Tidak dicampur dengan bijirin atau kekacang lain yang bergred lebih murah.


B) Pilih Makanan yang Selamat


1. Makanan dalam Tin

- Tin itu tidak kemek, kembung atau berkarat.
- Tudungnya tidak kemek, kembung atau berkarat.
- Periksa tarikh luput produk itu.
- Periksa label kandungan makanan itu untuk mengetahui maklumat pemakanan.

2. Makanan yang dibungkus

- Tidak bocor atau berhabuk.
- Tidak menggunakan bahan bercetak (majalah dan surat khabar) untuk membungkus kerana dakwatnya mudah tanggal.


C) Pilih Tempat Makan yang Bersih

 
- Pilih kedai makan yang tidak terlalu hampir dengan jalan raya dan laluan yang sibuk.
- Jauh dari tempat ternakan haiwan, parit atau tangki septik.
- Ada keperluan asas seperti air yang bersih untuk membasuh, elektrik, tempat membuang sampah yang betul dan tandas yang bersih.
- Menyediakan gelas dan pinggan yang bersih dan tidak pecah atau retak.
- Elakkan gerai jalanan yang tidak bersih.
- Tempat penyediaan makanan yang selamat dan bersih.
- Bebas dari haiwan seperti kucing, anjing, tikus, lalat, serangga, burung dan pepijat.
- Utamakan premis yang mempunyai pengesahan dari pihak berkuasa tempatan sebagai bersih dan selamat.


D) Pilih Premis Makan yang Mengutamakan Kebersihan Diri dan Pengendalian Makanan yang Betul.  

-Memakai pakaian yang bersih.
- Memakai penutup kepala.
- Mengutamakan kebersihan diri (kuku yang bersih dan pendek), tidak merokok, meludah, batuk ke arah makanan, tidak menggunakan tangan untuk menceduk makanan, menggunakan tuala yang bersih, tidak menjilat dan menggunakan jari untuk merasa.
- Tidak menyediakan makanan berhampiran tandas atau longkang.

Sumber : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
 

Tanggungjawab Pengguna


1. Kesedaran Mengkritik


Pengguna mestilah disedarkan supaya mengkritik tentang mutu dan nilai sesuatu barangan dan perkhidmatan.


2. Pembabitan dan Tindakan


Pengguna harus sentiasa membabitkan diri dengan kegiatan-kegiatan sosial yang menjamin kepentingan pengguna.


3. Tanggungjawab Sosial


a. Pengguna mesti bertindak dengan penuh tanggungjawab sosial.

b. Amalkan sikap mengambil berat tentang persekitaran dan membuat apa yang perlu jika ada yang tidak kena, walaupun diri anda tidak terbabit secara langsung.


4. Tanggungjawab Alam Semulajadi


Pengguna perlu mempunyai kesedaran yang tinggi atas keputusan mereka mengenai alam sekitar yang mesti dimajukan secara harmoni.


5. Bersatu Padu


Tindakan yang paling berkesan bagi menghadapi sesuatu masalah ialah dengan semangat kerjasama dan bersatu padu.

8 Hak Pengguna


1. Hak untuk mendapat keperluan asas

2. Hak untuk membuat pilihan

3. Hak untuk mendapat maklumat

4. Hak untuk mendapat ganti rugi

5. Hak untuk mendapat perkhidmatan dan barangan yang selamat

6. Hak untuk menyuarakan pendapat

7. Hak untuk mendapat pendidikan pengguna

8. Hak untuk mendapat alam sekitar yang bersih dan selamat

Tip Jimat Guna Sumber Tenaga


· Sentiasa memilih perkhidmatan pengangkutan awam untuk ke destinasi yang diingini.

· Gunakan peralatan jimat elektrik yang bukan saja menjimatkan bil elektrik serta sumber tenaga elektrik (pastikan ada pengiktirafan daripada Suruhanjaya Tenaga).

· Guna alat pendingin hawa pada suhu selesa dan sesuai (jangan tetapkan pada suhu yang terlalu rendah).

· Sentiasa menutup suis lampu ketika keluar dari bilik.

· Tutup semua suis dan plug bagi barangan elektrik yang tidak digunakan. Ini kerana walaupun peralatan itu telah ditutup, masih ada sedikit tenaga elektrik yang masih mengalir atau sedang digunakan sekiranya tidak berbuat demikian (stanby mode).

· Menanam pokok untuk memberikan teduhan kepada rumah daripada sinaran matahari dan ini boleh menjimatkan penggunaan kipas atau alat penghawa dingin.

· Amalkan sikap mengurangkan penggunaan, menggunakan semula dan kitar semula (Reduce, Reuse, Recycle-3R).

Tip Belanja Berhemat


·   Kurangkan membeli barangan berjenama mahal.

·   Buat senarai pembelian terlebih dahulu sebelum keluar membeli-belah. Patuhi senarai barangan itu.
 
·   Amalkan tabiat menawar harga barangan, melainkan jika harganya sudah tetap.

·   Beli secara borong bagi barangan keperluan yang tahan lama seperti tisu, peralatan dandanan dan kebersihan diri bagi mendapatkan nilai untuk pembelian.

· Jangan menyimpan wang tunai yang banyak dalam dompet kerana ia boleh mendorong untuk berbelanja dengan boros.

·  Manfaatkan kupon percuma atau baucar diskaun yang diterima ketika membeli belah di pasar raya kerana ia dapat menjimatkan wang.

·  Beli barangan terpakai seperti kereta jika tidak berkemampuan. Walaupun kos penyelenggaraannya mungkin tinggi, namun dapat mengurangkan kos pembiayaan pembelian yang tinggi setiap bulan.