:::.Sajian Hati.:::

♥♫♥ BuKaN aiR TaNGaNKu... ♥♫♥

Petua Untuk Menjadi Suri Rumah Berjaya


Menjadi suri rumah sepenuh masa bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh dan tidak boleh diperkecilkan kerana ia sungguh mencabar. Cuma ia tidak glamor kerana tidak beruniform cantik dan tidak berpejabat berhawa dingin. Walaubagaimanapun, tanggungjawabnya amat besar dan mulia, seolah-olah mengatur pemerintahan sebuah negara.

Dialah pentadbir, ahli pendidikan, pakar ekonomi, jururawat, tukang masak dan sebagainya. Pendek kata dialah raja, dialah menteri, dialah penyelia dan dialah juga kuli. Masa bertugas 24 jam sehari semalam tanpa cuti, tanpa gaji, cuti sakit jauh sekali.


Amalkan Petua Ini Untuk Menjadi Suri Rumah Berjaya


Untuk berjaya menjadi suri rumah, segala halangan dan rintangan akan berlalu dengan mudah jika diamalkan petua ini.

·         Penuhkan dada kita dengan ilmu dunia dan akhirat.
·         Jagalah kesihatan badan agar sentiasa sihat.
·         Redhalah dengan segala tugas yang kita lakukan itu.
·         Berurusanlah dengan penuh ikhlas dan kasih sayang.
·         Dan selalulah berdoa,

Doa Untuk Menjadi Suri Rumah Berjaya

·         Selalu amalkan surah an-Nasr, hati akan terasa tenang dan Allah akan lapangkan dada. Semua kerja akan mudah dilakukan kerana mendapat keberkatan daripada-Nya, insya-Allah selamat.

·         Untuk mendapat anak yang soleh dan mudah dididik, detiknya bermula ketika ingin bersama suami. Ikhlaskan hati, sungguh-sungguh curahkan kasih sayang kepada suami dan bukan dilakukan secara paksaan semata-mata kita seorang isteri.

·         Setelah hamil, kita mulakan dengan menjaga makanan yang diambil, pastikan ia daripada sumber yang halal dan baik kerana ia akan menjadi darah daging si anak. Banyakkan doa dan ibadat pada saat-saat ini. Rajinkan diri membaca al-Quran. Selain itu, kita juga digalakkan membaca bahan-bahan bacaan yang bermanfaat. Ini dapat meransang otak bayi.

·         Pelihara akhlak dan tutur kata kita kerana anak akan terdidik sejak dari dalam kandungan lagi; bagaimana warna ibu begitulah corak anak. Jaga makan minum, makanlah makanan yang berkhasiat, berzat dan bersih menurut syariat kerana makanan yang dimakan akan menjadi darah daging si anak.

·         Sesudah lahirnya, seseorang anak hendaklah dari kecil lagi diperdengarkan kalimah-kalimah yang mulia, pertuturan yang berharga. Perlihatkan akhlak yang berdarjat, perangai yang terhormat dan ingatlah pesanan Rasulullah bahawa semua anak yang dilahirkan suci bersih umpama kain putih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakannya. Sebagai ibu, kita mempunyai tugas paling mencabar kerana syurga di bawah telapak kaki ibu. Tersilap langkah ibu mendidik, menempah celakalah anak yang dikelek.

·         Didiklah mereka dengan kasih sayang dan bijaksana supaya menjadi insan yang sempurna. Ilmu akhirat hendaklah diutamakan agar menjadi benteng untuk mereka menghadapi pancaroba hidup di dunia ini. Solat lima waktu hendaklah dititikberatkan. Latihlah menunaikan solat lima waktu sejak kecil lagi. Ajarkan anak-anak lelaki berazan serta menjadi imam. Ini sebagai langkah permulaan untuk mereka berada di tengah-tengah masyarakat sebagai pemimpin yang bertakwa.

·         Menjaga kepentingan diri bukan satu perkara yang boleh diabaikan. Kita mesti menitikberatkan tiga perkara iaitu masa untuk bekerja, masa untuk beribadat dan masa untuk berehat. Kesihatan diri sangat perlu dijaga kerana kita manusia bukannya jentera. Hak kepentingan diri mesti dipertahankan.

Pada zaman ini, janganlah terlalu menjadi lilin yang hanya memusnahkan dirinya semata-mata untuk kepentingan orang lain. Bahkan persiapkanlah diri untuk menjadi sang rembulan yang tetap indah gemilang cahayanya menerangi alam semesta, juga sebutir berlian yang menghiasi pengantin remaja.

Sumber:
Buku Alahai Pengantin Baru

Tiada ulasan:

Catat Ulasan