Himpunan 20 Teka-Teki



1. Dalam banyak-banyak buah, buah apakah yang banyak?
Jawapan : Buah-buahan


2. Dalam banyak-banyak barang, barang apakah yang tidak boleh dijual?
Jawapan : Barang yang lepas, jangan dikenang.


3. Dalam banyak-banyak cabai, cabai apakah yang boleh terbang?
Jawapan : Cabai Burung


4. Kalau jumpa lembu garang, bagaimana nak bagi lembut?
Jawapan : Lembu jika ditambah huruf T akan menjadi L.E.M.B.U.T…


5. Kalau jumpa duit RM100 dengan RM50 yang manakah anda akan ambil?
Jawapan : Ambil dua-dualah..


6. Dalam banyak-banyak burung, burung apakah yang takut pada perempuan?
Jawapan : Burung Helang kerana dalam Bahasa Inggeris  ‘eagle’. Iaitu sebutannya ‘eee..girl..’


7. Perjalanan dari Parit Buntar ke Taiping mempunyai berapa belok?
Jawapan : Dua iaitu kiri dan kanan.


8. Dalam banyak-banyak kuih, benda apa orang panggil kuih tapi bukan kuih?
Jawapan : Kuew Tiaw.


9. Bila kita lupa kita bawa, bila kita teringat kita buang. Apakah itu?
Jawapan : Pokok kemuncup contoh apabila melekat di seluar.


10. Sepasang kekasih telah ditangkap oleh pihak agama, ia tinggalkan apa?
Jawapan : Tinggalkan bekas.


11. Buah apa apabila kita makan, kena pusing?
Jawapan : Buah jagung kerana kalau tak pusing macam mana nak makan yang sebelah lagi.


12. Alat apakah yang tak boleh dipegang, tak boleh dilihat tapi boleh didengar ?
Jawapan : Suara

13. Apakah perbezaan antara skirt pendek dengan kapal terbang?
Jawapan : Skirt pendek makin terbang makin nampak manakala kapal terbang makin terbang makin tak nampak.


14. Kapal terbang kalau sudah terbang dia tinggal apa?
Jawapan : Tinggal nak mendarat la....


15. Padi apabila sudah masak nak panggil apa?
Jawapan : Panggil mesin padi untuk potong.


16. Tikus apa yang boleh bercakap?
Jawapan : Mickey Mouse


17. Itik apa kaki dua?
Jawapan : Semua itik kaki dua.


18. Andaikan anda pemandu bas…
Stesen 1 : 10 orang naik
Stesen 2 : 10 orang naik 15 turun
Stesen 3 : 15 orang naik 20 orang turun
Stesen 4 : 24 orang naik 20 orang turun
Stesen 5 : 6 orang naik 5 orang turun
Berapakah umur driver bas itu?
Jawapan : Umur driver bas itu adalah umur andalah kerana dengan perkataan ‘andaikan anda pemandu bas’.


19. Benda apa bila kita hendak tangkap, dia tak lari?
Jawapan : Tangkap gambar


20. Dalam banyak-banyak burung, burung apakah yang berasal dari Jawa?
Jawapan : Burung Wak-wak

Petua Untuk Menjadi Suri Rumah Berjaya


Menjadi suri rumah sepenuh masa bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh dan tidak boleh diperkecilkan kerana ia sungguh mencabar. Cuma ia tidak glamor kerana tidak beruniform cantik dan tidak berpejabat berhawa dingin. Walaubagaimanapun, tanggungjawabnya amat besar dan mulia, seolah-olah mengatur pemerintahan sebuah negara.

Dialah pentadbir, ahli pendidikan, pakar ekonomi, jururawat, tukang masak dan sebagainya. Pendek kata dialah raja, dialah menteri, dialah penyelia dan dialah juga kuli. Masa bertugas 24 jam sehari semalam tanpa cuti, tanpa gaji, cuti sakit jauh sekali.


Amalkan Petua Ini Untuk Menjadi Suri Rumah Berjaya


Untuk berjaya menjadi suri rumah, segala halangan dan rintangan akan berlalu dengan mudah jika diamalkan petua ini.

·         Penuhkan dada kita dengan ilmu dunia dan akhirat.
·         Jagalah kesihatan badan agar sentiasa sihat.
·         Redhalah dengan segala tugas yang kita lakukan itu.
·         Berurusanlah dengan penuh ikhlas dan kasih sayang.
·         Dan selalulah berdoa,

Doa Untuk Menjadi Suri Rumah Berjaya

·         Selalu amalkan surah an-Nasr, hati akan terasa tenang dan Allah akan lapangkan dada. Semua kerja akan mudah dilakukan kerana mendapat keberkatan daripada-Nya, insya-Allah selamat.

·         Untuk mendapat anak yang soleh dan mudah dididik, detiknya bermula ketika ingin bersama suami. Ikhlaskan hati, sungguh-sungguh curahkan kasih sayang kepada suami dan bukan dilakukan secara paksaan semata-mata kita seorang isteri.

·         Setelah hamil, kita mulakan dengan menjaga makanan yang diambil, pastikan ia daripada sumber yang halal dan baik kerana ia akan menjadi darah daging si anak. Banyakkan doa dan ibadat pada saat-saat ini. Rajinkan diri membaca al-Quran. Selain itu, kita juga digalakkan membaca bahan-bahan bacaan yang bermanfaat. Ini dapat meransang otak bayi.

·         Pelihara akhlak dan tutur kata kita kerana anak akan terdidik sejak dari dalam kandungan lagi; bagaimana warna ibu begitulah corak anak. Jaga makan minum, makanlah makanan yang berkhasiat, berzat dan bersih menurut syariat kerana makanan yang dimakan akan menjadi darah daging si anak.

·         Sesudah lahirnya, seseorang anak hendaklah dari kecil lagi diperdengarkan kalimah-kalimah yang mulia, pertuturan yang berharga. Perlihatkan akhlak yang berdarjat, perangai yang terhormat dan ingatlah pesanan Rasulullah bahawa semua anak yang dilahirkan suci bersih umpama kain putih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakannya. Sebagai ibu, kita mempunyai tugas paling mencabar kerana syurga di bawah telapak kaki ibu. Tersilap langkah ibu mendidik, menempah celakalah anak yang dikelek.

·         Didiklah mereka dengan kasih sayang dan bijaksana supaya menjadi insan yang sempurna. Ilmu akhirat hendaklah diutamakan agar menjadi benteng untuk mereka menghadapi pancaroba hidup di dunia ini. Solat lima waktu hendaklah dititikberatkan. Latihlah menunaikan solat lima waktu sejak kecil lagi. Ajarkan anak-anak lelaki berazan serta menjadi imam. Ini sebagai langkah permulaan untuk mereka berada di tengah-tengah masyarakat sebagai pemimpin yang bertakwa.

·         Menjaga kepentingan diri bukan satu perkara yang boleh diabaikan. Kita mesti menitikberatkan tiga perkara iaitu masa untuk bekerja, masa untuk beribadat dan masa untuk berehat. Kesihatan diri sangat perlu dijaga kerana kita manusia bukannya jentera. Hak kepentingan diri mesti dipertahankan.

Pada zaman ini, janganlah terlalu menjadi lilin yang hanya memusnahkan dirinya semata-mata untuk kepentingan orang lain. Bahkan persiapkanlah diri untuk menjadi sang rembulan yang tetap indah gemilang cahayanya menerangi alam semesta, juga sebutir berlian yang menghiasi pengantin remaja.

Sumber:
Buku Alahai Pengantin Baru

Cara Mudah Mendapat Ketenangan

bunga

Ketenangan adalah suatu keadaan di mana anda berasa selesa, lega dan bebas dari tekanan perasaaan. Cara mudah mendapat ketenangan ialah :

  • Kerap bersenam dan riadah
  • Tentukan kedudukan badan yang selesa agar senang bernafas
  • Keadaan sekeliling yang segar dan selesa
  • Amalkan fikiran positif

Sinopsis Novel Nada Dering Cinta Karya Deeme Danee

Novel Nada Dering Cinta Karya Deeme Danee

Novel : Nada Dering Cinta

Pengarang : Deeme Danee
Bilangan Halaman : 378 Halaman
Penerbit : GedeBook Sdn. Bhd
Cetakan Pertama : 2014
Sumber Buku : Sahabat (Siti Hajar)
Harga : RM18.50


Sudah bosan hidup di kampung, Farhana nekad berhijrah ke bandar mengikut ajakan Waheda, teman rapatnya yang sentiasa nampak bergaya. Farhana mahu mengubah hidupnya. Dia mahu berjaya dan bergaya seperti Waheda - walau tidak jalan berlenggok, tetapi semua orang pandang!

Waheda pula sudah tidak boleh lari. Dia bukannya bersungguh mengajak Farhana, tetapi cuma ajak-ajak ayam. Habislah reputasinya nanti kalau Farhana tahu semua barang yang melekat di tubuhnya itu diperoleh dengan berhutang di sana sini. Waheda hanya bekerja sebagai Operator Pengeluaran di sebuah kilang di Kuala Lumpur.

Tiba di bandar, Farhana umpama rusa masuk kampung. Semuanya nampak indah di mata. Kenaifan Farhana menjadi modal kepada Idzuan bagi memperdayakan gadis mulus itu dengan menawarkan telefon idaman Farhana - telefon terbaru dengan spesifikasi yang tinggi.

Seorang lagi jejaka iaitu Zulkarnain yang menjadi pemerhati setia begitu marah dengan sikap Farhana yang terlalu mempercayai Idzuan sehingga sanggup meminjamkan wang kepada lelaki itu. Teguran Waheda dan Zulkarnain mengundang rasa tidak senang sehingga mencetuskan pergaduhan antara mereka bertiga!

Zulkarnain telah jatuh cinta pandang pertama pada Farhana sejak Farhana menjejak kaki di Kuala Lumpur lagi. Ciri-ciri isteri idamannya ada pada Farhana. Pelbagai cara dilakukan untuk menambat hati Farhana. Malah Zulkarnain sanggup mengupah penyiasat untuk mengetahui semua aktiviti Farhana. Sehinggalah tertangkapnya Idzuan yang telah menipu ramai orang. Farhana mula sedar dan merindui Zulkarnain.

Farhana kembali ke kampung untuk meminta maaf pada sahabatnya Waheda. Cinta Zulkarnain yang tidak pernah layu pada Farhana, telah melamar idaman hatinya itu. Mereka berdua disatukan dalam sebuah majlis. 

Dari mana datangnya lintah,
Dari sawah turun ke hati;
Dari mana datangnya cinta, 
Dari mata turun ke hati.

Letusan marak lahar kebahagiaan seolah-olah menular ke seluruh jiwa setiap insan yang ada. Melodi 'Nada Dering Cinta' sentiasa berentak dalam dua hati yang kini terikat untuk saling melengkapi.

Apakah Itu Dadah?


APAKAH ITU DADAH?


-Dadah ialah bahan kimia yang dapat mengubah fungsi badan dan kelakuan seseorang.

-Dalam bidang perubatan, dadah digunakan sebagai ubat untuk merawat pelbagai penyakit seperti batuk, sakit kepala dan sebagai ubat tahan sakit.

-Bahan ini boleh menyebabkan ketagihan dan menjejaskan fungsi sistem saraf pusat.


PENYALAHGUNAAN DADAH


-Penyalahgunaan dadah ditakrif sebagai penggunaan dadah untuk tujuan selain perubatan.

-Pengambilan dadah secara berulang kali boleh menyebabkan kesan ketagihan, iaitu badannya akan bergantung secara fizikal ke atas dadah.

-Akta Dadah Berbahaya 1952 telah diwujudkan untuk mengharamkan penanaman, pengeluaran, pengedaran, import, eksport, pemilikan dan penyalahgunaan dadah.


JENIS-JENIS DADAH

-Opiat (candu, heroin, morfin dan kodein)
-Stimulan (syabu, ecstasy dan kokain)
-Ganja (ganja, hashish)
-Halusinogen (LSD, meskalin)
-Depresen
-Ubat-ubatan dan bahan-bahan yang disalahguna


KESAN-KESAN DADAH


-Dadah seperti Amfetamin merencatkan pengeluaran hormon  norendepherine dan serotonin untuk menghasilkan kesan gembira yang semulajadi dan memerlukan dadah ini untuk rasa riang.

-Dadah juga merangsang otak dan minda dengan memberi kesan keriangan yang ‘palsu’ seperti ketawa yang belebihan. Tingkah laku turut menjadi agak luar biasa daripada berbagai-bagai segi, termasuk kelincahan mahupun dari segi pertuturan.

-Dadah juga merangsang otak dan minda dengan memberi kesan dimana boleh mencetus keganasan.

-Pengambilan depresen menjadikan seseorang menjadi tidak aktif dan berada dalam keadaan tertekan dan sugul.

-Berbagai-bagai tekanan fungsi badan seperti jantung, pernafasan mahupun buah pinggang turut terjejas.

-Dari segi fizikal, penagih akan menjadi kurus, lemah tenaga, malas dan kelihatan seperti dalam khayalan, pitam, pengsan dan berperasaan ganas.

-Daya tahan penyakit akan menjadi lemah dan mudah dijangkiti seperti kancing gigi, Hepatitis, Tibi, AIDS dan maut.

-Dadah mengganggu tindakan neurotransmiter dan menjejaskan fungsi sistem saraf.


DADAH PERANGSANG


-Dadah perangsang ialah dadah yang mempercepat aktiviti sistem saraf seperti kadar denyutan jantung, kadar pernafasan dan meningkatkan tekanan darah.

-Dadah perangsang juga mempercepat rembesan dan tindakan neurotransmiter  pada sinaps di otak seterusnya memberi kesan euforia dan ketagihan.

-Antara contoh dadah perangsang ialah kokain, nikotin, amfetamin dan kafein.

-Penggunaan dadah perangsang untuk jangka masa yang panjang boleh mempengaruhi fungsi sistem peredaran darah, sistem pencernaan dan sistem saraf lalu menyebabkan halusinasi dan kemurungan.


DADAH PENENANG


-Dadah penenang ialah dadah yang melambatkan aktiviti sistem saraf pusat seperti kadar denyutan jantung dan kadar pernafasan.

-Dadah penenang juga menurunkan tekanan darah, mengendurkan otot, melegakan kegelisahan, dan mengelakkan tidur.

-Antara contoh dadah penenang ialah barbiturat, trankuiliser, morfin dan heroin.

-Penyalahgunaan dadah penenang menyebabkan kehilangan ingatan, tidak dapat menumpukan perhatian, masalah pernafasan, kanser peparu, kerosakan hati dan otak, mangantuk, kacelaruan, dan koma.

Doa Untuk Pengantin Baru

Pelamin

“Ya Allah, satukanlah hati …………
Seperti Engkau satukan hati Adam dan Hawa, Yusof dan Zulaikha dan seperti Engkau satukan hati Muhammad S.A.W. dan Siti Khadijah. Satukanlah hati kedua mempelai ini dengan iman keyakinan dan tawakal kepadaMu. Jadikanlah mereka suami soleh yang sentiasa memimpin dan isteri solehah yang sentiasa membantu. Murahkan rezeki mereka dan kurniakan kepada mereka zuriat yang beriman dan beramal soleh. Semoga kehidupan mereka dipenuhi Al-Mawwadah dan Al-Rahman di dunia dan akhirat.” –Amin Ya Rabbal Alamin-


“Ya Allah Ya Tuhan Kami, Kami memohon doa restumu….
Berkatilah majlis perkahwinan ini, Berjalan dengan sempurna seperti mana yang Engkau kehendaki, Dan semoga jodoh perkahwinan ini akan berkekalan buat selama-lamanya hingga ke akhir hayat. Amin, Ya Rabbal Alamin…”


“Ya Allah Ya Tuhan Kami, satukanlah hati kedua pasangan mempelai ini dengan iman, keyakinan dan tawakal kepadaMu, panjangkanlah umur mereka, lapangkanlah rezeki mereka, dekatkanlah mereka menuju kebaikan, jauhkanlah mereka dari keburukan, kurniakanlah mereka zuriat yang soleh dan solehah, serta berikanlah ketenangan kepada mereka di dunia dan akhirat, berkatilah perkahwinan mereka serta berkekalan sehingga akhir hayat.”


Bismillahirrahmanirrahim…. Ya Allah, Ya Tuhan Ku,
“Kami memohon hidayah dan restu dari Mu. Berkatilah majlis ini, limpahkanlah rahmat ke atas pasangan suami isteri ini. Jadikanlah rumahtangga mereka aman bahagia dalam ketaatan kepada Mu. Kurniakanlah kepada mereka zuriat yang soleh dan solehah serta berikanlah ketenangan kepada mereka di dunia dan akhirat. Sempurnakanlah agama mereka dengan ikatan ini. Semoga ianya berkekalan hingga akhir hayat.”


Ya Allah Ya Tuhan Kami,
“Andainya Kau telah takdirkan jodohnya berilah mereka berdua kebahagiaan buat selamanya. Tempatkan mereka di antara orang-orang yang paling Kau sayang dan kekalkan jodoh mereka hingga ke akhir hayat.”

Kisah Aqamah

Kisah Aqamah

Tersebut kisah di zaman Nabi,
Seorang pemuda berhama tinggi,
Sangat pemurah baik pekerti,
Saidina Aqamah nama diberi.

Hidup bersama seorang ibu,
Ibu yang tua tetapi kaya,
Sayangnya ibu sepenuh kalbu,
Pada Aqamah anak tercinta.

Hari berlalu bertukar ganti,
Tibalah masa saat dinanti,
Kini Aqamah telah beristeri,
Seorang puteri cantik berseri.

Bersedih ibu sepenuh hati,
Mengenang nasib yang dialami,
Ibu yang malang merasa sepi,
Bila Aqamah berpindah pergi.

Bersama isteri yang dikasihi,
Hidup bahagia setiap hari,
Saat Izrail berkunjung diri,
Lidah Aqamah kelu membisu.

Disuruh mengucap tiada ketahui,
Akibat hampakan hati si ibu,
Himpunkan kayu perintah baginda,
Untuk membakar jasad Aqamah.

Datanglah ibu mengampunkannya,
Barulah dapat ia mengucap,
Setelah mengucap wafatlah ia,
Meratap sayu hati si ibu.

Jadilah tauladan hati semua,
Janganlah sekali sakitkan hati,
Syurga ditapak kaki ibu,
Derhaka khianat kita yang rugi.

Sinopsis Novel Cukup Derita Itu Karya Siti Rosmizah

Novel Cukup Derita Itu Karya Siti Rosmizah

Novel : Cukup Derita Itu

Pengarang : Siti Rosmizah
Bilangan Halaman : 1170
Penerbit : SR Publication
Cetakan Pertama : 2014
Sumber Buku : Sahabat (Ain)
Harga : RM38.90

          Ellana dan Ellani, kembar seiras yang tinggal bersama mak ngahnya selepas kematian ibubapa mereka. Mak Ngah Gayah membezakan kasih sayangnya. Ellana dilayan bagaikan puteri. Sedangkan Ellani diperlakukan tidak ubah seperti hamba abdi.

          ”Kenapa kau tak mati ikut mak kau! Kau ni memang menyusahkan aku! Dahlah hidup merempat! Buat tak sedar diri pulak! Kalau kau berani lagi melawan aku. Aku sagat-sagat muka kau dengan berus dawai. Biar jadi hodoh! Dasar budak tak guna!” hamun Mak Ngah Gayah.

          Sedih. Menangis. Tak setitis pun air mata Ellani keluar. Untuk apa? Itulah rutin hidupnya. Maki hamun, pukul dah sebati dalam dirinya. Nak menangis? Berbaloi ke? Dapat raih simpati mak ngah? Jangan harap!

          Zarul Zafran lelaki tampan yang bekerjaya sebagai seorang pensyarah. Cinta pandang pertama pada Ellana membawa mereka hampir ke gerbang perkahwinan. Takdir menentukan segalanya. Zarul ditimpa kemalangan. Ellana bolehkan mati dalam hatinya.

          Dalam Ellani melalui kemelut hidupnya. Kasih lelaki ini bolehkan beralih padanya. Adoi! Serasa nak gugur jantung Ellani dibuatnya. Cinta? Kasih? Apa semuanya ni? Doktor mengesahkan Zarul Zafran telah hilang ingatan akibat kemalangan itu. Cinta Zarul selama ini untuk Ellana beralih pula kepada Ellani. Ellani sukar untuk menerimanya. Lelaki yang hampir menjadi abang iparnya bolehkan jatuh hati dengannya. Pelik!

          Namun, demi kebahagiaan seorang yang telah dianggap seperti ibu. Ellani akur dengan ketentuan jodohnya. Zarul Zafran akhirnya menjadi suaminya. Berbagai onak dan duri dilalui sepanjang perkahwinan mereka. Ada yang suka dan duka. Hasil perkahwinan itu, lahirlah pasangan kembar iaitu Afiq dan Nia.

          Dendam yang berlingkar dalam hati mak ngah dan Ellana menambahkan derita hidup Ellani. Kasih Zarul kembali beralih pada cinta pertamanya setelah ingatannya kembali pulih. Pengorbanan Ellani tidak dihargai. Ellani diseksa. Jiwanya merana.

          “Ellani binti Rashdan, aku Zarul Zafran bin Dato’ Azli ceraikan kau dengan talak satu! Kau keluar dari rumah aku. Hak penjagaan anak-anak aku serahkan sepenuhnya pada kau”.

          Hebat lelaki ini! Hanya melalui SMS dia menjatuhkan talak pada Ellani. Menggigil Ellani membacanya.

          “Allahuakbar! Mak kenapa dia buat Lani macam ni mak! Kenapa dia hina Lani sampai macam ni sekali! Apa salah Lani mak? Apa dosa Lani? Ya Allah! Kuatkan aku Ya Allah! Kuatkan imanku menghadapi dugaan-Mu ini! Raungnya.

          Ellani… cukup derita itu! Cukup derita itu! Dia bagaikan terdengar-dengar suara arwah emaknya dan itulah juga kata-kata yang dijerit dalam hatinya.

          Ellana bukanlah gadis sebaik yang disangka oleh Zarul. Ketika belajar di UK, telah melakukan hubungan sulit dengan lelaki lain. Apabila telah diketahui Zarul, kini baru disedari cintanya hanya untuk Ellani dan anak-anak.

          Zarul sanggup melakukan apa sahaja demi kembali pada Ellani. Malah, sanggup menculik anaknya sendiri ketika di lapangan terbang. Ellani yang tidak dapat berpisah dengan Afiq dan Nia, terpaksa kembali bersama suaminya Zarul Zafran.

          Ellani begitu sukar untuk menerima suaminya seperti dahulu. Dia masih tidak percaya bahawa cinta Zarul hanya miliknya. Apa yang lebih menyakitkan hati, Zarul sanggup membawa Ellana pulang ke rumah mereka semata-mata untuk menyakitkan hati Ellani.

          Pelbagai konflik dan kemelut yang berlaku hingga akhirnya membawa Ellani pergi menghilangkan diri meninggalkan anak-anak. Dia telah nekad untuk berpisah dengan anak-anaknya kerana tidak sanggup lagi tinggal bersama suaminya.

          Zarul yang terlalu menyintai isterinya pergi ke kampung halaman Ellani untuk memujuk isterinya. Terjadilah suatu insiden di mana semasa mereka bergaduh, Ellani telah terbaling buah rambutan ke sarang lebah.

          Hasil lakonan Salwa yang mantap, menjadikan suami isteri ini bersatu dan cinta mereka kekal mewangi. Ellani sesungguhnya masih mencintai Zarul manakala Zarul pula baginya cintanya kepada Ellani bukanlah cinta pertama baginya tetapi cinta terakhir untuknya. Cukup derita itu… Moga selepas ini, kebahagiaan milik mereka buat selama-lamanya.


Antara Watak yang Terlibat

Ellana dan Ellani – Kembar seiras, Ellana adalah kakak kepada Ellani.

Mak Ngah Gayah – Mak saudara kepada Ellana dan Ellani.

Pak Ngah Salim - Bapa saudara kepada Ellana dan Ellani, adik kepada Puan Zaleha.

Puan Zaleha – Ibu kepada Ellana dan Ellani.

Datin Mahani – Sahabat baik Puan Zaleha.

Dato’ Azli – Suami Datin Mahani.

Salwa – Sahabat baik Ellani.

Fariz Mukhriz – Abang Salwa.

Zarul Zafran – Anak sulung Datin Mahani.

Amirul – Anak kedua Datin Mahani.

Afiq dan Nia – Anak kembar Ellani dan Zarul Zafran.

Jika Tiada Rezeki…

kek cawan

Bayangkan… Kita ada anak kecil. Umur 3 tahun. Satu hari, kita tengah masak di dapur. Si anak ternampak pisau. Merengek-rengek dia menangis. Nakkan pisau jadi mainan. Agak-agak kita bagi? Tentulah tidak, kan... Adakah ini tandanya kita tidak sayangkan anak? Bahkan, kerana sayanglah kita enggan berikan. Walaupun di mata anak, pisau itu 'menyeronokkan' tapi kita lebih tahu. Ia merbahaya untuk anak kita. Kita lebih tahu. Anak tidak tahu. Begitu juga. Kita dengan Allah. Kita 'merengek' nakkan sesuatu. Tetapi Allah tidak izinkan. Adakah Allah tidak sayangkan kita? Bahkan kerana sayanglah, kemahuan kita tidak diturutkan. Malah diganti dengan yang lebih baik. Kerana apa yang kita mahukan itu. Mungkin kelihatan baik pada pandangan kita. Tapi tidak pada pengetahuan Allah. Allah lebih tahu. Kita tidak tahu. Mari bertasbih, bertahmid dan bertakbir mengagungkan Allah SWT. Sebarkan tulisan ini agar damai hati-hati yang membacanya..


Tazkirah…

Jika tiada rezeki anak, mungkin diberikan rezeki mertua yang baik. Maka kita lebih bahagia dari mendapat anak yang liar.

----------------------

Jika tiada rezeki wang ringgit, mungkin diberikan rezeki kesihatan. Maka kita lebih bahagia dari kerisauan menjaga harta dunia.

--------------------------

Jika tiada rezeki kereta mewah, mungkin diberikan rezeki kenderaan yang jarang menimbulkan masalah. Maka kita lebih bahagia dari membayar kerosakan yang mahal.

-----------------------

Jika tiada rezeki rumah yang besar, mungkin diberikan rezeki makanan yang tidak pernah putus. Maka kita lebih bahagia dari si gelandangan.

---------------------

Jika tiada rezeki pasangan yang cantik, mungkin diberikan rezeki pasangan yang baik dan pandai menguruskan rumahtangga. Maka kita lebih bahagia kerana hidup berteman dan terjaga segala.

---------------------

Jika tiada rezeki jodoh, mungkin diberikan rezeki umur ibu bapa yang panjang. Maka kita lebih bahagia dapat berbakti sepenuhnya pada orang tua.

----------------------

Jika tiada rezeki hari ini, mungkin ada rezeki yang lebih baik pada esok hari. Maka kita lebih bahagia kerana rezeki yang tidak dijangka.

------------------------

Bersabar. Bersyukur. Berusaha. Berdoa. Bertawakal. Hanya Dia, Allah Yang Maha Adil.


Sumber : WhatsApp

Sinopsis Novel Suamiku Encik Sotong Karya Syikin Zainal

Novel Suamiku Encik Sotong

Novel : Suamiku Encik Sotong
Ketebalan : 610 Halaman
Penerbit : Ilham Karangkraf (Buku Prima)
Pengarang : Syikin Zainal


Erica Soffea melonjak kegembiraan. Mana tidaknya, dialah bakal peneraju Khaleeda Holding. Walaupun hubungannya dengan arwah nenda bukanlah baik sangat pun. Terasa macam hendak buat aksi akrobatik ketika namanya diumumkan ketika bacaan wasiat.

Naik senak kepala Erica bila dia terpaksa dijodohkan dengan sotong peliharaan nenda, Farish. Dah la tak macho, pakai baju warna pink. Kalau bercakap tangan bukan main lentik lagi macam orang nak main mak yong.  Itulah syarat ditetapkan nenda untuk Erica.

Farish terpaksa menerima Erica kerana dua sebab. Pertama, sebab wasiat arwah Tengku Khaleeda. Kedua, kerana tidak tahan dengan perangai berlagak Erica. Lagipun bukan lama sangat dia perlu bergelar suami pada diva yang berlagak itu, tiga tahun sahaja. Dalam tempoh perkahwinan mereka jatuh cinta. Tapi…. Cinta itu bukan mereka berdua. Milik siapa ya?

Cinta Erica dan Farish tersasar jauh. Erica bercinta dengan abang sepupunya sendiri iaitu Izhan dan Farish pula bercinta dengan Dhia Adirra. Perkahwinan mereka hanyalah sekadar catatan di atas kertas yang tidak mempunyai apa-apa makna.

Erica telah terlanjur dengan Izhan sehingga mengandung dan ketika itu masih isteri Farish. Hubungan Erica dan Izhan mendapat tentangan dari Tengku Atylia iaitu ibu Izhan. Malah, Tengku Atylia ingin menjodohkan Izhan dengan Qarina.

Encik Sotong (Farish) bukan lelaki biasa, tetapi lelaki yang sanggup berkorban segala-galanya demi tidak mahu melihat Erica merana. Walaupun jiwa lelakinya menderita, tapi sampai bila?

Cinta Farish hanya untuk Dhia Adirra. Dia telah berkorban dengan menjaga Erica dan mengaku anak yang dikandung Erica adalah miliknya ketika hubungan Erica dengan Izhan mengalami krisis. Sikap tidak ingin bersemuka dalam menyelesaikan masalah menyebabkan hidup Erica merana. Izhan amat mencintai Erica. Tetapi tidak mengetahui apa salahnya sehingga Erica sanggup memutuskan hubungan mereka.

Dhia Adirra mengetahui bahawa cintanya telah dipermainkan kerana Farish tidak berterus terang dengan perkahwinannya, telah lari membawa diri. Farish menjadi kesepian kerana Dhia Adirra tidak mahu mendengar sebarang penjelasan.

Akhirnya semua masalah dan rahsia telah terungkai, Erica kembali kepada Izhan dan melangsungkan perkahwinan mereka. Hubungan Dhia Adirra dan Farish juga kembali mewangi apabila Erica tampil menceritakan segalanya.


“Amboi sedap aje mulut kau mengata kat aku. Aku pun tak ingin nak ambil perempuan macam kau jadi isteri aku tau. Mulut macam puaka.” – Farish

“Bukanlah Kak Ain, bukan Rica nak sembunyikan suami Rica. Tapi dia sibuk maklumlah nak jahit baju pertunangan Izhan dengan Qarina. Faham-faham ajelah golongan tengku-tengku ni bertunang pun kena buat yang grand. Baju tu kalau boleh bukan setakat labuci, lampu lip-lap tu pun kalau boleh dipasang kat baju. Itu yang suami sakit kepala. Nak fikir macam mana nak letak lampu lip-lap kat pergelangan tangan,” - Erica

Kenali Iblis dan Syaitan serta Gangguannya pada Manusia

ANAK SOLEH


Tahukah anda bahawa tanah boleh padamkan api? Oleh itu, kita sebagai manusia yang dicipta daripada tanah boleh mengawal iblis dan syaitan yang dicipta daripada api dari terus menganggu.

Tahukah anda bahawa iblis tidak akan mati sehingga akhirat dan kita boleh menghalang gangguannya dengan mengetahui asal-usul iblis.

Tahukah anda bahawa iblis pernah menangis? Empat kali iblis menangis iaitu :

a) Ketika iblis dinyah dari syurga ke bumi.
b) Kemurkaan Allah kepada Iblis.
c) Ketika surah Al-Fatihah diturunkan.
d) Berlaku ijab dan qabul.


Sebab Iblis Sakit Hati pada Manusia


1. Manusia itu sebaik-baik kejadian.
2. Allah S.W.T. menyebut manusia menjadi khalifah iaitu mengurus muka bumi ini.
3. Manusialah penyebab iblis dinyah ke bumi kerana sebelum ini iblis berada di syurga.


Jadi, iblis telah mengatur strategi untuk melihat manusia melakukan perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T. Iblis akan menggangu manusia dengan pelbagai penyakit dan hasad dengki. Oleh itu, sebagai manusia haruslah mencari antibiotik mengelak gangguan iblis ini.


Simptom Terkena Gangguan


1. Selalu sakit tetapi apabila pergi ke hospital tiada penyakit
2. Sakit atas belakang
3. Sakit sendi-sendi utama
4. Migrain
5. Berdebar tanpa sebab
6. Bangun pada waktu pagi ada kesan lebam pada tubuh
7. Ada kesan cakar pada tubuh
8. Perkara kecil menjadi besar kerana marah
9. Haid tidak menentu


Tanda-tanda Terkena Gangguan


1. Susah untuk tidur
2. Mimpi jatuh tempat tinggi
3. Mimpi menyusu
4. Mimpi ular


Langkah Pencegahan dari Terkena Gangguan


1. Kena ada ilmu iaitu tahu asal usul iblis dan ayat yang ditakutinya
2. Sembahyang malam
3. Berzikir
4. Beriman kepada Allah S.W.T.


Penyakit Hati yang Berbahaya


1. Riak dan takabbur
2. Hasad dengki yang memakan segala kebaikan


Amalan untuk Mengelak Rasa Dengki


1. Bersihkan hati dengan berzikir iaitu astafirullah, ya latif dan sebagainya.
2. Bersangka baik.
3. Banyak menolong orang yang menyakiti hati kita.


Tips Mencari Ketenangan Hati


1. Sedar kita hanyalah hamba Allah.
2. Menerima qada dan qadar Allah S.W.T. (hapuskan sikap ‘kalau’ dalam diri).
3. Bersyukur pada Allah.
4. Sabar atas segala ujian.
5. Bersikap dengan sikap wasatiah iaitu kesederhanaan dan qonaah iaitu cukup dengan apa yang ada.
6. Perbanyak amal ibadat.


Sumber : Tanyalah Ustaz