:::.Sajian Hati.:::

♥♫♥ BuKaN aiR TaNGaNKu... ♥♫♥

Bolehkah Wanita Haid Masuk Masjid?

wanita muslimah

Soalan :

Saya bakal berkahwin tidak lama lagi dengan majlis akad nikah bakal diadakan dalam masjid. Saya risau jika pada hari berkenaan saya dalam keadaan haid. Adakah kita dilarang memasuki masjid dalam keadaan haid jika niat kita untuk menyelesaikan pernikahan sahaja?


Jawapan :

Para ilmuwan berbeza pendapat hukum wanita yang sedang haid memasuki masjid. Dalam bab ini terdapat sebuah riwayat yang bermaksud: Aku tidak menghalalkan masjid bagi (wanita yang didatangi) haid dan tidak (halal juga) bagi orang yang junub. Akan tetapi darjat kekuatan hadis ini diperbincangkan. Pada waktu yang sama terdapat sebuah hadis lain yang jelas sahih berkenaan seorang wanita yang tinggal sekian lama di dalam khemah, di dalam masjid Nabi di Madinah (Shahih al-Bukhari, no: 439).

Wanita tersebut tentu mengalami kitaran seperti biasa, namun Rasulullah tidak menegur atau melarang beliau daripada terus berada di dalam masjid. Oleh itu saya lebih cenderung kepada hukum bahawa wanita yang sedang haid boleh memasuki masjid atas apa jua urusan.

Seperkara lain, apabila mendekati hari nikah dan anda pasti akan didatangi haid pada hari tersebut, hendaklah memaklumkannya kepada calon suami. Ini kerana antara agenda utama pada malam pernikahan ialah suami dan isteri melakukan hubungan seks buat pertama kali. Makluman yang awal akan dapat mengelak situasi yang tidak diingini pada malam pertama tersebut. Perlu ingat bahawa Islam melarang suami menyetubuhi isterinya yang sedang haid, tetapi membolehkan mereka bermain-main bersama-sama.


Oleh :
Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
Majalah Dara.com

Ingin Membatalkan Nazar

Soalan :

Saya pernah bernazar tetapi kini ragu sama ada dapat melaksanakannya. Bolehkah saya membatalkannya atau menukarnya?


Jawapan :

Pertama sekali, meskipun nazar dibolehkan dalam Islam, ia bukanlah sesuatu yang dianjurkan. Ini kerana seseorang itu hendaklah ikhlas beribadah kepada Allah dan bukannya setelah mendapat sesuatu kebaikan atau mengancam dirinya dengan hukuman jika gagal memenuhi nazar tersebut. Lebih dari itu bersumpah ke atas diri sendiri untuk melakukan sesuatu ibadah sunat bererti menukar hukumnya dari sunat kepada wajib. Ini juga bukan sesuatu yang selari dengan ajaran Islam.


Nazar umpama sumpah dan sesiapa yang tidak dapat memenuhinya hendaklah membayar kafarat sumpah iaitu :-

  1. Memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang biasa diberikan kepada keluarga kamu, atau
  2. Memberi pakaian kepada mereka, atau
  3. Memerdekakan seorang hamba, atau
  4. Berpuasa tiga hari.

Memandangkan anda sudah bernazar, maka laksanakanlah ia dan jika benar-benar tidak mampu, bayarlah salah satu dari empat kafarat sumpah di atas. Selepas itu usah bernazar lagi. Beribadahlah kepada Allah kerana anda ingin beribadah kepadanya, taat kepada-Nya, bersyukur kepada-Nya dan inginkan ganjaran syurga daripada-Nya.


Oleh :
Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
Majalah Dara.com

Communication For Behavioural Impact (COMBI) Bersama Teman Membanteras Denggi


Apa itu COMBI?


Satu program atau aktiviti di mana masyarakat akan diberikan pendedahan dan pendidikan untuk mencegah daripada dijangkiti demam denggi oleh sukarelawan COMBI. Para sukarelawan ini dilantik di kalangan masyarakat setempat itu sendiri.


Apa Objektif COMBI?


- Meningkatkan tahap kesedaran masyarakat untuk mencegah denggi.

- Mengurangkan jangkitan denggi dengan memusnahkan tempat-tempat pembiakan Aedes.

- Mendidik masyarakat supaya mengamalkan langkah-langkah mudah untuk mencegah dijangkiti demam denggi.

- Memupuk penglibatan masyarakat dalam usaha membanteras denggi terutamanya sebagai ahli jawatankuasa COMBI.


Apa Langkah-langkah Pencegahan Demam Denggi yang Perlu dilaksanakan?


- Periksa di dalam dan di luar rumah sekurang-kurangnya sekali seminggu. Pastikan rumah atau kediaman anda bebas daripada pembiakan Aedes.

- Segera dapatkan rawatan doktor sekiranya demam.


Apakah Tempat-tempat Berpotensi Pembiakan Aedes yang Perlu diperiksa dan Apa yang Perlu dilakukan?



a) Cistern/tangki pam tandas

- Pastikan ia berfungsi;
- Sekiranya tidak berfungsi, pastikan tangki kering.


b) Alas Pasu Bunga

- Pastikan tiada air bertakung;
- Bersihkannya seminggu sekali dengan memberus.


c) Tong/takungan menyimpan air

- Basuh dengan memberus bekas setiap minggu;
- Bubuh pembunuh jentik-jentik mengikut sukatan.


d) Kolah Air

- Basuh dengan memberus kolah setiap minggu;
- Bubuh pembunuh jentik-jentik mengikut sukatan.


e) Tayar

- Hendaklah dilupuskan;
- Ditutup dengan pasir untuk memastikan tiada ruang untuk takungan air.


f) Kanvas

- Simpan di tempat yang tidak terdedah kepada hujan;
- Lupuskan sekiranya tidak digunakan lagi.


g) Bekas-bekas terbiar

- Lupuskan sekiranya tidak digunakan lagi.

Selain bekas-bekas berpotensi menjadi punca pembiakan Aedes di atas, banyak lagi bekas yang boleh menakung air terdapat di sekitar rumah dan kediaman kita. Pastikan hidup kita bebas daripada pembiakan Aedes.



Pesanan Daripada :
Kawalan Penyakit Bawaan Vektor,
Jabatan Kesihatan Negeri
Perak Darul Ridzuan.