Penyakit Tibi



Apakah Itu Penyakit Tibi?


Tibi merupakan sejenis penyakit berjangkit yang boleh membawa maut sekiranya tidak mendapat rawatan sempurna. Penyakit ini disebabkan oleh kuman Tibi (Tubercle Bacilli) yang biasanya menjangkiti paru-paru. Ia hanya boleh dilihat dengan mikroskop. Dianggarkan 90 peratus daripada kuman tibi biasanya menyerang paru-paru atau dikenali sebagai tibi pulmonari. Walau bagaimanapun, melalui peredaran darah, ia juga boleh merosakkan bahagian lain tubuh badan manusia seperti buah pinggang, kulit, mata, kelenjar leher, tulang, otak dan lain-lain.


Tanda dan Gejala Penyakit Tibi


• Batuk yang berterusan lebih dari 2 minggu
• Kahak yang mengandungi darah
• Demam dan berpeluh lazimnya pada sebelah petang dan malam
• Susut berat badan dan hilang selera makan
• Mengalami sakit dada apabila batuk atau semasa menarik nafas panjang
• Mudah menjadi letih


Bagaimana Tibi Merebak?


Apabila pesakit tibi pulmonari aktif batuk, bersin atau bercakap, mereka akan mengeluarkan beribu-ribu kuman tibi daripada paru-paru atau kerongkong yang bertebaran di udara dalam bentuk titisan halus. Sesiapa yang menyedut udara yang mengandungi kuman tibi yang terapung-apung itu seterusnya akan menghadapi risiko dijangkiti. Mereka yang berhubung rapat seperti ahli keluarga dan rakan sekerja pesakit tibi lazimnya paling berisiko untuk menghidapinya.


Cara Mengesan Penyakit TIBI


Sekiranya anda mempunyai tanda dan gejala penyakit Tibi anda akan diminta :-
• mendapatkan pemeriksaan doktor
• melakukan pemeriksaan kahak untuk mengenalpasti bakteria Tibi
• menjalani pemeriksaan x-ray dada


Golongan berisiko tinggi mendapat jangkitan


• Penduduk miskin yang tinggal di desa mahupun di bandar-bandar
• Pembawa HIV
• Mereka yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, buah pinggang
• Pesakit yang mengambil ubat steroid dalam jangka waktu yang lama
• Warga tua.


Pencegahan Penyakit Tibi


• Bayi-bayi yang baru dilahirkan mestilah diberikan suntikan BCG. Dapatkan suntikan dos ke 2 sekiranya tiada bekas parut pada umur 12 tahun.
• Sekiranya batuk yang berterusan lebih daripada 2 minggu, segeralah berjumpa doktor
• Kontek iaitu ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang tinggal sebumbung dengan pengidap Tibi dalam tempoh yang lama hendaklah datang membuat pemeriksaan di klinik atau di hospital kerajaan.


Rawatan Tibi dan Prinsip DOTS


DOTS (Directly Observed Treatment-Shortcourse) atau Pengawasan Rawatan Jangka Pendek Secara Terus merupakan strategi yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk merawat penyakit Tibi.

Prinsip-prinsip DOTS adalah :-
• Pesakit perlu mengambil ubat selama 6 bulan
• 2 bulan pertama pesakit diminta menelan setiap dos ubat setiap hari dengan disaksikan oleh anggota kesihatan yang terlatih
• Pada peringkat sambungan selama 4 bulan pesakit perlu mengambil ubat 2 kali seminggu di bawah penyeliaan seseorang yang dilantik



Senarai Semakan Penyeliaan DOTS

a) Kesan sampingan berikut tidak berbahaya (berikan keyakinan kepada pesakit)

• Air liur/ air mata/ air kencing bertukar kepada warna jingga.
• Kulit pedih apabila terdedah kepada matahari.


b) Rujuk pesakit ke klinik kesihatan jika mengalami keadaan-keadaan berikut :

• Hilang selera makan yang ketara
• Loya atau muntah-muntah
• Warna kulit atau mata bertukar menjadi kuning
• Demam melebihi 3 hari
• Sakit perut
• Kebas/ perit pada jari, tangan, kaki atau sekeliling mulut
• Ruam kulit
• Mudah berdarah (membran mukosa)
• Mudah lebam pada kulit
• Sakit-sakit sendi
• Pening
• Kabur penglihatan
• Bunyi dengung dalam telinga
• Batuk berdarah


Nasihat Umum


• Sekiranya anda pesakit tibi yang sedang menjalani rawatan, anda hendaklah mendapatkan rawatan berterusan serta mematuhinya dengan sempurna sehinggalah semuanya selesai.

• Anda boleh menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital, klinik kesihatan atau klinik desa yang berhampiran. Rawatan adalah percuma.

• Kejayaan rawatan bergantung kepada kerjasama yang diberikan oleh pesakit.

• Penyakit ini boleh sembuh jika rawatan diambil sepenuhnya mengikut jadual yang ditetapkan.

• Apabila gejala-gejala penyakit hilang, tidak bermakna anda sudah sembuh sepenuhnya.

• Jangan sekali-kali berhenti mengambil rawatan tanpa berunding dengan doktor.

• Rehat secukupnya.

• Amalkan cara hidup sihat dan makan makanan yang seimbang.

• Pastikan badan anda selalu kuat dan sihat supaya dapat menentang kuman-kuman tibi pada sepanjang masa.

• Jangan biarkan diri dikuasai oleh rokok kerana ia hanya memburukkan keadaan.

• Banyakkan bersenam.

• Buka pintu dan tingkap pada waktu siang untuk peredaran udara yang sempurna bagi mencegah kuman tibi merebak.

• Biarkan cahaya matahari memasuki rumah anda dengan banyaknya kerana ia berupaya membunuh kuman tibi yang terapung-apung di udara dan berselindung di sudut-sudut rumah.

• Elakkan daripada tinggal bersesak-sesak di dalam rumah yang sempit.


Fakta Penting


*Penyakit Tibi tidak boleh berjangklt melalui makanan dan minuman.
*Penyakit Tibi bukan sejenis penyakit keturunan
*Pesakit Tibi yang telah menerima rawatan lebih dari 2 minggu, tidak lagi menjangkiti orang lain.
*Anda berpeluang untuk sembuh jika anda mematuhi rawatan yang disediakan.


BERTINDAKLAH SEGERA


Rawatan segera menyelamatkan nyawa. Rawatan awal dan segera adalah mustahak untuk mengelakkan kesulitan dan kemelaratan yang akan berlaku kepada pesakit.

2 ulasan:

  1. Cegah lebih baik dari mgubati kan =) perkongsian yg baik..tq2

    BalasPadam
  2. Bila kita tahu apakah tanda atau gejala penyakit tibi, kita dapat merawatnya lebih awal. Penyakit ini jika lambat dirawat, boleh menyebabkan kematian.

    BalasPadam