Cegah Tibi (TB)


Penyakit Tibi (Batuk Kering)

Adalah penyakit yang disebabkan oleh sejenis kuman berjangkit yang dinamakan mycobacterium tuberculosis.

Kuman TB biasanya menyerang paru-paru. Kuman ini juga menyerang lain-lain bahagian badan seperti tulang, sendi tulang, buah pinggang dan lain-lain.

Penyakit TB yang tidak dirawat boleh membawa maut.



Cara Mengesan  Penyakit TB

- Pemeriksaan kahak dibuat untuk mengenalpasti kuman TB.
- Ujian kahak dapat dibuat di semua hospital dan klinik kesihatan.
- Pemeriksaan  x-ray dada juga dapat membantu mengesan penyakit TB.



Cara Jangkitan TB

Pesakit TB paru-paru yang aktif biasanya mengalami batuk. Setiap kali batuk, mereka mengeluarkan titisan-titisan halus yang mengandungi TB.

Penyakit TB adalah ‘jenis penyakit sebaran udara’. Dengan itu, kuman TB berjangkit dari seorang pesakit TB yang berkahak positif kepada yang lain melalui udara apabila pesakit TB batuk atau bersin.



Tanda atau Gejala Penyakit TB

- Batuk berterusan  kadangkala berdarah.
- Batuk yang berkahak dan kadangkala berdarah.
- Hilang selera makan.
- Demam, selalunya berpeluh pada waktu petang dan malam.
- Mengalami penurunan berat badan.



Rawatan Penyakit TB

Rawatan TB selalunya mengambil masa selama 6 bulan.

Pada permulaan, ia meliputi rawatan harian selama 2 bulan, dengan beberapa ubat yang diambil setiap hari di bawah penyeliaan anggota kesihatan yang dilantik. –DOTS

Ini diikuti dengan rawatan sambungan sehingga pesakit sembuh.

Rawatan yang diikuti secara tetap akan membantu pesakit untuk sembuh sepenuhnya.

Beberapa Perkara Untuk Diperhatikan :

- Berusahalah untuk mendapatkan suntikan atau rawatan seperti yang dijadualkan.
- Pastikan semua ubat-ubatan dimakan mengikut arahan dan nasihat doktor.
- Dapatkan rehat yang cukup, makan makanan yang seimbang.



Rawatan TB Yang Tidak Sempurna Akan Mengakibat 

- Penyakit TB menjadi lebih teruk.
- Kuman TB akan menjadi kebal.
- Kerosakan kekal akan berlaku pada paru-paru dan organ-organ lain.
- Membawa maut.
- Menjadi punca jangkitan TB kepada keluarga tersayang dan kontak-kontak.


Pencegahan Penyakit TB

Bayi-bayi yang baru lahir mestilah diberi suntikan BCG.

Semua kontak pesakit TB (ahli keluarga dan rakan sekerja) harus mengikut jadual saringan yang ditetapkan.

Biarkan rumah dimasuki cahaya matahari sebanyak mungkin. Cahaya matahari dapat membantu membunuh kuman TB yang terapung di udara.

Bukalah tingkat pada waktu siang, bagi peredaran udara yang sempurna. Peredaran udara yang sempurna membantu mencegah kuman TB daripada merebak.



Fakta-fakta Berkaitan Penyakit Tibi

WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) menetapkan 24 Mac setiao tahun sebagai ‘Hari TB Sedunia’ . Tarikh ini adalah bersamaan dengan penemuan kuman TB oleh Dr. Robert Koch di Berlin, pada 24 Mac 1882.

Ia disambut untuk memupuk kerjasama yang lebih rapat daripada pelbagai pihak serta masyarakat umum, khususnya bagi bersama-sama berganding bahu membanteras penyakit TB.  


Sumber :
Jabatan Kesihatan Negeri Perak
www.jknperak.gov.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan